PRN Melaka: Jezlee Mahu Jadi Wakil Rakyat Dekat Di Hati Masyarakat

JASIN, 5 Nov – Membawa pendekatan yang berteraskan khidmat masyarakat dan hubungan rapat dengan penduduk menjadi komitmen calon muka baharu Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Jezlee Pit sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, keutamaan bukan sekadar membawa agenda pembangunan, sebaliknya memastikan wakil rakyat sentiasa dekat dengan masyarakat, mudah ditemui dan peka terhadap permasalahan yang dihadapi penduduk.

Menurutnya, masyarakat khususnya di kawasan kampung memerlukan wakil rakyat yang bukan sahaja hadir ketika musim pilihan raya, tetapi turut bersama mereka dalam aktiviti kemasyarakatan serta memahami keperluan setempat.

“Paling utama bagi saya adalah untuk sentiasa menampingi rakyat. Sebab rakyat di kampung-kampung ini, mereka nak kita. Kita selalu nampak, di kampung-kampung ada kenduri kahwin, aktiviti di surau, masjid dan sebagainya,” katanya.

Jezlee berkata, beliau bersyukur apabila pendekatan turun padang yang dilaksanakan sepanjang tempoh berkempen mendapat sambutan positif daripada masyarakat Sungai Rambai.

Malah, katanya, ramai penduduk turut mengundangnya untuk berkunjung ke kawasan masing-masing, sekali gus memberi ruang kepadanya mendengar sendiri pandangan dan permasalahan masyarakat.

“Alhamdulillah, penerimaan masyarakat sangat positif. Saya pergi dari rumah ke rumah dan apabila kita membuat hantaran di media sosial, ramai yang menjemput. Jadi, kita cuba memenuhi permintaan atau jemputan masing-masing.

“Insya-Allah, kalau ada permasalahan sekalipun, kita akan hadir. Walaupun mungkin tidak dapat menyelesaikannya dalam tempoh ini, kita tetap ada cara untuk membantu mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata isu penyelenggaraan infrastruktur awam termasuk jalan raya dan sistem perparitan serta keperluan menangani masalah banjir di kawasan kampung turut memerlukan perhatian berterusan.

Beliau turut melihat keperluan meneruskan projek dan program terdahulu yang masih belum diselesaikan, selain menambah baik pelaksanaannya demi manfaat penduduk.

Jezlee yang mempunyai pengalaman selama 24 tahun sebagai penghulu berkata, pengalaman dalam bidang kemasyarakatan itu akan dimanfaatkan untuk memperkukuh hubungan dengan agensi dan jabatan kerajaan bagi membantu menyelesaikan permasalahan rakyat.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO