UMNO Terus Terima Sumbangan Awam Bantu Najib

ALOR GAJAH, 4 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan Ibu Pejabat UMNO pada ketika ini terus menerima sumbangan bagi membantu memenuhi bayaran denda dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata purata antara RM5,000 hingga RM10,000 setiap hari diterima menerusi inisiatif pembiayaan awam bagi membantu usaha berkaitan pemimpin tersebut.

“Saya melihat bantuan daripada orang ramai ini secara puratanya setiap hari tidak kurang daripada RM5,000 hingga RM10,000. Sekecil RM10, RM5, bahkan ada yang RM1 pun.

“Ini yang dipanggil crowdfunding, kita membantu melalui sumbangan yang diberikan oleh orang ramai. Cuma saya mahu ada elemen kejutan sedikit dan biarlah apabila tiba masanya kita akan umumkan,” katanya.

Dr Asyraf berkata demikian kepada media ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal, semalam.

Turut hadir calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Datuk Dr Mustafa Musa.

Pada 18 September lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkan baki hukuman dijalani di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan termasuk bayaran RM50 juta.

Dalam pada itu, beliau berkata nama Najib yang terus dikaitkan oleh pihak lawan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuktikan pemimpin itu masih menjadi antara isu yang dibangkitkan sepanjang tempoh berkempen.

“Maknanya mereka mengakui bahawa apa yang dilakukan sepanjang Datuk Seri Najib sebagai pemimpin dulu, ada siapa yang sempurna, tetapi tak ada siapa juga yang boleh menafikan.

“Zaman Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri, rakyat pelbagai kaum, agama boleh hidup dengan keadaan yang selesa. Tidak ada masalah… hari ini yang berbangkit soal pelbagai bentuk cukai yang menyebabkan bisnes sudah tidak lagi menjadi mesra kepada masyarakat, komuniti peniaga.

“Saya rasa ini yang banyak dikomen oleh pelbagai kelompok masyarakat, kehidupannya makin susah, tidak seperti mana yang digambarkan

“Dulu sentimen yang dimainkan BN ini barang naik, harga naik, minyak sentiasa naik, kos sara hidup naik. Tetapi rupa-rupanya zaman sekarang lebih susah lagi,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO