Kempen PRN Melaka Perlihat Kerjasama Erat BN-PN – Dr Asyraf

ALOR GAJAH, 3 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan, kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memperlihatkan kerjasama lebih erat antara jentera Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata ini dapat dilihat menerusi program ceramah yang menghimpunkan pemimpin dan penyokong kedua-dua parti.

“Kalau kita lihat PRN Melaka ini ceramah yang lebih besar di sebelah malam kita dapat lihat wakil jentera pengundi, penyokong, tanpa mengira parti, terutamanya BN dan PN.

“Di tempat-tempat BN bertanding, kita dapat lihat jentera PN tidak hanya bekerja di kawasan yang mereka tandingi sahaja, tapi mereka kekal membantu di kawasan yang BN bertanding.

“Begitu juga arahan saya dan arahan pimpinan cukup jelas, di kawasan-kawasan PN bertanding, jentera BN di kawasan tersebut mesti membantu” katanya.

Dr Asyraf berkata demikian kepada media ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal.

Turut hadir calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Datuk Dr Mustafa Musa.

Dalam pada itu beliau berkata, isu prestasi dan rekod pentadbiran seharusnya menjadi asas penilaian rakyat, bukannya dipengaruhi sentimen perkauman yang dimainkan sepanjang tempoh kempen.

Menurutnya, ini kerana terdapat pihak yang cuba membentuk persepsi kononnya kerjasama BN dan PN akan menyebabkan kaum lain ditindas.

“Rakyat Melaka cukup bijak menilai kerana negeri ini tidak besar dan masyarakatnya saling mengenali serta dapat melihat sendiri bagaimana kemakmuran dan pembangunan berkembang.

“Paling penting, kita mahu kerajaan yang bertanggungjawab. Sesiapa sahaja yang dipilih rakyat selepas ini perlu mengambil contoh kepimpinan sebelum ini yang membantu rakyat tanpa mengira kaum,” ujar beliau.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.

DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO