KPK Laksana CTRE, Promosi Minyak Sawit Merah

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melaksanakan sepuluh Program Pendidikan Berterusan Berkaitan Pelancongan (CTRE) untuk mempromosikan minyak sawit merah.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, KPK telah memulakan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sejak 2024 untuk menjayakan usaha tersebut.

“Kementerian menyambut baik cadangan Yang Berhormat Seputeh untuk mempromosikan manfaat minyak sawit merah dan amalan baik penanam sawit Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2027.

“Bagi tujuan ini, KPK telah memulakan kerjasama dengan MOTAC dan agensi berkaitan sejak tahun 2024.

“KPK melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) melaksanakan sepuluh Program (CTRE) yang melibatkan 400 orang pemandu pelancong di Johor, Pahang, Selangor dan Sabah. Program ini akan diperluaskan pada tahun 2027 yang akan turut melibatkan Negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan 2027 di Parlimen, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia memaklumkan, program tersebut adalah untuk meningkatkan pengetahuan pemandu pelancong mengenai amalan pengurusan ladang sawit mampan.

“Program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan pemandu pelancong mengenai amalan pengurusan ladang sawit mampan, pensijilan MSPO, pemeliharaan biodiversiti serta manfaat dan kepelbagaian kegunaan minyak sawit.

“Pemandu pelancong seterusnya dapat menyampaikan maklumat yang tepat kepada pelancong, sekaligus membantu menangani persepsi negatif terhadap industri sawit Malaysia.

“Dalam masa yang sama, kementerian sedang membangunkan pakej lawatan pendidikan dan agropelancongan yang mengetengahkan ladang, pekebun kecil, peniaga Tandan Buah Segar (TBS), kilang serta kemudahan pemprosesan yang mempunyai pensijilan MSPO,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau juga memaklumkan penggunaan logo MSPO pada produk berasaskan sawit terus diperluas.

“Baru-baru ini juga, KPK telah menganjurkan program A Malaysian Cocoa Affairs di Mahkota Parade, Melaka sempena Hari Koko Antarabangsa. Program ini telah mendapat sambutan yang baik dengan kehadiran pengunjung melebihi 70,000 orang termasuk pelancong dari luar negara.

“Selain itu, penggunaan logo MSPO pada produk berasaskan sawit, termasuk minyak sawit merah, terus diperluas bagi meningkatkan kesedaran pengguna dan pelancong tentang produk yang dihasilkan secara mampan.

“Usaha ini bukan sahaja dapat membentuk persepsi positif pelancong antarabangsa terhadap industri sawit negara melalui pengalaman secara langsung, malah berpotensi membuka peluang pendapatan sampingan kepada pekebun kecil dan komuniti setempat melalui aktiviti agropelancongan,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO