Johor Perkukuh Industri Akuakultur, Tingkat Ekonomi Nelayan
JOHOR BAHRU, 24 Nov – Johor terus memperkukuh kedudukan sebagai antara negeri penyumbang utama industri akuakultur negara dengan nilai pengeluaran keseluruhan sebanyak RM1.01 bilion pada tahun 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Md. Israk Abdullah berkata, nilai tersebut merangkumi industri ikan makan dan ikan hiasan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Senggarang dan ADUN Maharani berhubung perkembangan industri akuakultur Johor.
Menurutnya, pengeluaran akuakultur ikan makan pada tahun 2025 mencatatkan sebanyak 28,974.92 tan metrik bernilai RM796.52 juta, melibatkan 598 projek akuakultur aktif di seluruh negeri.
Antara komoditi utama ialah udang marin dengan pengeluaran sebanyak 12,725.72 tan metrik, bersamaan 25.27 peratus daripada jumlah pengeluaran negara.
Industri berkenaan melibatkan 157 ladang ternakan seluas 2,096.09 hektar serta lima pusat hatcheri.
Johor turut memainkan peranan penting dalam industri ikan hiasan negara dengan nilai pengeluaran sebanyak RM217.10 juta, melibatkan 65 ladang ternakan seluas 200.87 hektar.
Bagi memastikan pembangunan industri ini turut memberikan manfaat kepada komuniti nelayan, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perikanan Negeri Johor dan LKIM mempergiat pelaksanaan beberapa projek akuakultur strategik.
Antaranya Projek Estet Kerang-Kerangan Negeri Johor yang dibangunkan secara terancang dengan penglibatan nelayan Zon A di kawasan pesisir pantai barat Johor, khususnya di Pontian, Batu Pahat dan Tangkak.
Selain itu, projek ternakan udang oleh Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sedili dan Persatuan Nelayan Negeri Johor serta projek ternakan kupang oleh PNK Johor Selatan turut menunjukkan perkembangan positif dalam memperkukuh aktiviti ekonomi dan membuka peluang pendapatan kepada nelayan.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperkasa industri akuakultur melalui pembangunan projek berdaya maju, pengurusan sumber secara lestari serta penglibatan aktif komuniti nelayan. – UMNO Online
