Krisis Negeri Sembilan: Kenapa PH Suka Menyongsang? – Mohamad Fadil

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin mempersoalkan tindakan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat sering ‘menyongsang’, terutamanya dalam isu Adat Perpatih di negeri tersebut.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Mohamad Fadil memaklumkan mereka memandang serius fitnah yang disebarkan melalui halaman Facebook ‘Kami Viral’ dan menegaskan bahawa urusan pelantikan Menteri Besar diserahkan sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan.

“Sebuah halaman Facebook bernama ‘Kami Viral’ yang memetik bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Barisan Nasional (BN) berusaha menjatuhkan Yang di-Pertuan Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

“Kami ingin tegaskan bahawa dalam urusan pelantikan Menteri Besar, BN telah berulang kali maklumkan bahawa perkara tersebut diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Tuanku dan BN tidak akan melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 atau mencampuri urusan adat.

”Posting tersebut dilihat sengaja mengaitkan UMNO dengan isu istana bagi mencetuskan persepsi jahat dan mengelirukan kefahaman rakyat,” katanya.

Ujarnya, rakyat di Negeri Sembilan lebih arif mengenai urusan adat di Negeri Sembilan dan UMNO terus teguh setia terhadap Institusi Raja dan Negara dengan tidak berbelah bahagi.

“Walaubagaimanapun kami yakin bahawasanya rakyat Negeri Sembilan tidak mudah untuk diperbodohkan oleh ‘ceplos-ceplos’ dengan kandungan yang tidak sahih daripada akaun tidak rasmi seperti ini.

“Harus diingat, kesetiaan UMNO kepada Institusi Raja dan Negara tidak pernah berbelah bahagi; ia masih kekal menjadi salah satu perkara dalam perlembagaan parti.

“Pemuda UMNO Negeri Sembilan mahu melihat apakah tindakan yang akan diambil oleh Menteri Komunikasi terhadap naratif jahat ini kerana kami yakin rakyat juga akan menilai bagaimana Menteri Madani bekerja. Soalan Cepumas, kenapa PH suka menyongsang?” soalnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO