Manndzri Pandu Sendiri Van Jenazah, Bukti Pemimpin Dekat Dengan Rakyat
KUALA LUMPUR, 24 Nov – Tanggungjawab seorang pemimpin tidak terhenti di Dewan Rakyat atau ketika menjalankan tugas rasmi, sebaliknya turut terserlah melalui keprihatinan terhadap kebajikan dan kesusahan insan di sekelilingnya.
Itu ditunjukkan Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib apabila beliau sendiri memandu van jenazah membawa ibu kepada pegawainya, Allahyarhamah Rubiah Suandi, 72, dari Hospital Serdang pulang ke kampung halaman di Kulai, Johor.
Tindakan Manndzri itu membawa makna tersendiri apabila beliau bukan sekadar meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarhamah, malah mengambil tanggungjawab mengendalikan sendiri perjalanan membawa jenazah bagi memastikan urusan pengebumian dapat disempurnakan.

Lebih bermakna, beliau hadir menziarahi keluarga berkenaan selepas selesai menghadiri sesi persidangan di Dewan Rakyat sebelum memandu sendiri van jenazah menuju ke Kampung Ayer Manis, Batu 30, Kulai.
Bagi Manndzri, hubungan dengan pegawai dan masyarakat tidak seharusnya terbatas kepada urusan pekerjaan atau ketika memerlukan sesuatu, sebaliknya perlu dibina atas dasar kepercayaan, keakraban dan sikap saling mengambil berat.
“Bagi saya, menjadi pemimpin bukan hanya tentang tanggungjawab di dalam Dewan Rakyat atau ketika berhadapan dengan masyarakat dalam program rasmi. Kita juga perlu hadir ketika mereka berdepan kesusahan dan memerlukan sokongan.
“Dalam keadaan keluarga sedang bersedih kehilangan insan tersayang, apa yang termampu kita bantu, kita lakukan. Ini soal kemanusiaan dan tanggungjawab sesama insan. Tanggungjawab seorang wakil rakyat yang tidak memisahkan tugas politik daripada nilai kemanusiaan” katanya.
Allahyarhamah Rubiah dilaporkan meninggal dunia ketika tidur kira-kira empat jam sebelum pesawat yang dinaikinya bersama ahli keluarga dari Madinah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Ini adalah iktibar iaitu salah satu ‘kepulangan’ kepada Allah SWT selepas selesainya menunaikan ibadah umrah. Semoga Arwah ditempatkan dalam kalangan hambanya yang soleh dan dimuliakan di sisi-Nya,” katanya lagi.
Jenazah dibawa pulang ke kampung halaman di Kampung Ayer Manis untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 32 berhampiran pada malam Isnin. – UMNO Online
