Kerajaan Perkukuh Ekonomi Sabah, Pendekatan Pembangunan Diperhebat – Shahar
KUALA LUMPUR, 24 Nov – Kerajaan komited menangani isu kemiskinan di Sabah menerusi pendekatan lebih menyeluruh yang mengambil kira realiti kehidupan rakyat di lapangan, khususnya di kawasan pedalaman, selain memperkukuh pembangunan ekonomi dan membuka peluang peningkatan pendapatan kepada penduduk tempatan.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, kadar kemiskinan mutlak Sabah masih tertinggi di Malaysia iaitu 17.7 peratus berbanding purata nasional sebanyak 5.1 peratus, sekali gus memerlukan pendekatan pembangunan yang lebih bersasar dan mengambil kira jurang ketaksamarataan antara wilayah.
“Kemiskinan tegar telah menurun daripada 1.2 peratus (2022) kepada 0.73 peratus (2024). Pada masa yang sama, pendapatan purata isi rumah Anak Negeri Sabah meningkat daripada RM5,087 (2019) kepada RM5,836 (2024). Ini menunjukkan bahawa kemajuan telah dicapai, tetapi jurang ketaksamarataan masih wujud.
“Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), menekankan peralihan kepada industri High Growth High Value (HGHV). Bagi Sabah, tumpuan diberikan kepada aktiviti hiliran dalam sektor agromakanan, perikanan, ekonomi biru, pelancongan, ekonomi digital dan tenaga boleh baharu. Secara keseluruhan, bagi tempoh Januari 2023 hingga Jun 2026, Sabah merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM39.2 bilion, melibatkan 475 projek, yang telah mewujudkan 6,646 peluang pekerjaan baharu.
“RMK13 turut memperuntukkan RM97 juta bagi Program Pembangunan Sosioekonomi Anak Negeri (PKAN) Sabah. Projek lain termasuk hab pengeluaran makanan, hab ekonomi biru dan hab perikanan bersepadu, pembesaran Pelabuhan Kontena Sepangar Bay serta Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP),” katanya.
Beliau menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis yang memohon Menteri Ekonomi menyatakan usaha mengatasi kemiskinan di Sabah secara realiti di lapangan pelan anjakan struktur yang konkrit oleh Kementerian untuk membangunkan rantaian nilai hiliran sumber asli di Sabah agar anak tempatan tidak terus terperangkap dalam kebergantungan subsidi.
Tambah beliau, dalam usaha membolehkan rakyat beralih daripada kebergantungan kepada bantuan kepada penjanaan pendapatan sendiri, beliau berkata kerajaan turut memperkukuh aspek pemilikan tanah menerusi Program PANTAS.
Sehingga Jun 2026, sebanyak 214,171 hektar tanah Hak Adat Anak Negeri (NCR) telah diukur, melibatkan 95,206 penerima manfaat, manakala 60,559 hak milik telah dikeluarkan.
Mengulas isu kos sara hidup dan perbezaan kos logistik di kawasan pedalaman Sabah, Shahar yang juga Ketua UMNO Bahagian Paya Besar berkata kerajaan mengambil kira faktor perbezaan wilayah dalam menentukan pendekatan bantuan kepada rakyat.
“Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Sabah ditetapkan pada RM2,843, lebih tinggi berbanding PGK nasional sebanyak RM2,705, mencerminkan pengambilan kira perbezaan kos sara hidup antara wilayah. Kerajaan terus mempertingkatkan pendekatan sedia ada menerusi beberapa mekanisme bantuan termasuk peruntukan RM250 juta bagi Program Pengedaran Barang Perlu dan RM67 juta bagi Program Penyeragaman Harga Barang di Sabah, Sarawak serta Labuan.
“Sebanyak RM700 juta diperuntukkan bagi Program Jualan Rahmah MADANI, termasuk pelaksanaan jualan bergerak di kawasan luar bandar, manakala peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan kepada RM16 bilion.
“Bantuan Persekolahan Umum Khas Sekolah Pedalaman pula menggunakan kadar berbeza mengikut tahap pedalaman. Ini menunjukkan pendekatan berasaskan lokasi telah pun dilaksanakan. Punca kos logistik yang tinggi turut ditangani melalui pembangunan infrastruktur,” katanya lagi.
Tambah beliau, peruntukan pembangunan Sabah ditingkatkan kepada RM18.7 bilion dalam Belanjawan 2027, termasuk pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dan pembinaan Jalan Kalabakan-Simanggaris.
Shahar menegaskan kerajaan menggabungkan anjakan struktur ekonomi dengan bantuan bersasar bagi memastikan usaha membasmi kemiskinan tidak hanya tertumpu kepada bantuan jangka pendek, sebaliknya mampu membina sumber pendapatan yang lebih mampan.
Menerusi RMK13, kerajaan menyasarkan pendapatan penengah isi rumah Sabah meningkat daripada RM4,890 pada 2024 kepada RM5,780 menjelang 2030.
“Kerajaan komited memastikan tiada rakyat yang tertinggal, termasuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman Sabah,” ujarnya. – UMNO Online
