Lepasan STPM Dikategori Setaraf Untuk Permohonan IPT – Zambry

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata dalam sistem UPUOnline, pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diklasifikasikan sebagai calon lepasan STPM, setaraf untuk permohonan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjelaskan, kerajaan telah memperkenalkan sistem meritokrasi bermula tahun 2002 bagi menggantikan sistem kuota yang telah diperkenalkan sebelum itu sejak tahun 1972 lagi.

“Proses kemasukan pelajar bagi lepasan STPM, Matrikulasi dan Asasi ke Universiti Awam adalah sama dengan menggunapakai prinsip meritokrasi. Prinsip meritokrasi ini adalah berasaskan pencapaian ademik (90 peratus) dan pencapaian kokurikulum (10 peratus) tanpamengira kategori lepasan, agama, bangsa, keturunan dan negeri.

“Meskipun dari segi kokurikulum itu terus diperbahaskan. Kedua-duanya iaitu markah akademik berdasarkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) dan markah kokurikulum diperolehi secara “face value” dan ianya telah pun dijelaskan dan harap ianya dapat kita fahami bagaimana sistem itu berjalan,” katanya ketika ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2027, di Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan lain Zambry menegaskan sejak dahulu perkara berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sering kali dibahaskan sejak dahulu dan perkara tersebut sering kali dimainkan, perspektif-perspektif baharu dikemukakan.

“Antara isu-isu yang sering kali dimainkan, perspektif-perspektif baharu dikemukakan. Namun perlu terus mencari pendekatan terbaik, bagaimana menyelesaikan masalah PTPTN ini. Tetapi dalam masa yang sama ada masalah keberhutangan yang terus memuncak.

“Apabila kita melantik pengutip-pengutip atau Agensi Perunding Hutang (APH) ini. Kita juga memastikan supaya perkara-perkara yang dilakukan tidak bertindak sebagai ‘Along’. Sebab itu, apabila ada laporan-laporan berkaitan tindakan-tindakan ala along itu, maka kita akan mengambil tindakan.

“Sebab apa yang dilaksanakan sebelum ini pun, hanya melibatkan mereka yang culas iaitu 10 tahun ke atas yang telah pun dilaksanakan yang tidak pernah langsung memaklumkan kepada pihak PTPTN. Kita sering kali membuka ruang kepada mereka supaya datang berbincang. Kita tahu keadaan ekonomi mereka,” katanya lagi.

Seterusnya kata beliau lagi, itu adalah pendekatan dalam PTPTN kerana tahu bukannya hendak menzalimi mereka.

“Penangguhan bayaran balik kepada peminjam yang berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan. Bayaran balik minimum dikenakan hanya RM50 ke atas peminjam berpendapatan antara RM2,501 hingga RM3,000 sebulan.

“Peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik secara teratur akan diberi diskaun 10 peratus dan potongan cukai kepada majikan yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO