Tuduhan Kewangan JALB Tidak Boleh Dipandang Ringan
KUALA LUMPUR, 26 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tuduhan berhubung pengurusan kewangan Program Jalan Luar Bandar (JALB) sebagai perkara serius kerana melibatkan amanah dalam menguruskan wang rakyat, reputasi kementerian serta integriti penjawat awam.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, pemahaman yang jelas perlu diberikan terhadap perbezaan antara peruntukan asal, peruntukan yang dipinda dan perbelanjaan sebenar bagi mengelakkan kekeliruan berhubung dakwaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terlebih belanja sebanyak RM2.1 bilion.
“Untuk makluman, bagi tahun 2023 hingga 2025, jumlah peruntukan asal JALB ialah kira-kira RM3.982 bilion. Selepas penyelarasan, jumlah peruntukan dipinda ialah RM6.143 bilion, manakala perbelanjaan sebenar ialah RM6.108 bilion.
“Tetapi, apabila dibandingkan dengan peruntukan selepas pindaan, perbelanjaan sebenar masih di bawah jumlah yang tersedia, dengan baki kira kira RM34.3 juta.
“Dari mana datangnya angka RM2.1 bilion? Ia terhasil apabila perbelanjaan sebenar RM6.108 bilion ditolak dengan peruntukan asal RM3.982 bilion, tanpa mengambil kira peruntukan dipinda.
“Kita perlu jelas tentang apa yang ditunjukkan oleh angka ini. Perbezaan RM2.1 bilion berbanding peruntukan asal itu bukan dengan sendirinya bukti wang hilang, ketirisan atau penyelewengan. Penyelarasan peruntukan ini juga berlaku di kementerian-kementerian lain,” katanya pada perbahasan Rang undang-Undang Perbekalan 2027 (Peringkat Dasar) di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad Zahid menjelaskan, perbezaan perbelanjaan berbanding peruntukan asal itu tidak boleh dianggap secara automatik sebagai bukti kehilangan wang, ketirisan atau penyelewengan, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan penyelarasan peruntukan yang dilaksanakan mengikut tatacara kewangan kerajaan.
“Apabila kerja bergerak lebih cepat daripada jangkaan, tuntutan bayaran tahunan turut meningkat. Begitu juga apabila projek terdahulu memasuki fasa pembayaran atau tuntutan yang telah disahkan perlu diselesaikan. Dalam keadaan ini, peruntukan tahunan perlu diselaraskan melalui pindahan peruntukan dalaman bagi memenuhi keperluan tersebut.
“Tetapi, keperluan tambahan tidak bermakna KKDW boleh terus menambah peruntukan dan membuat pembayaran. Di sini, saya inginkan perhatian Ahli-Ahli Yang Berhormat bagi memastikan tiada lagi tuduhan-tuduhan melulu terhadap tatacara kewangan kerajaan yang telah dipatuhi sepenuhnya oleh KKDW.
“Pertama, setiap penyelarasan perlu melalui mekanisme ‘Notice of Change’ atau NOC serta pindahan peruntukan, mengikut jenis perubahan dan kelulusan yang diperlukan. Proses ini melibatkan Pegawai Pengawal KKDW, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Jabatan Akauntan Negara Malaysia, mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Kedua, kelulusan serta pelarasan berkaitan direkodkan melalui sistem kerajaan, termasuk MyProjek dan iGFMAS. Setelah peruntukan disalurkan dan tersedia, pembayaran diproses berdasarkan tuntutan serta pengesahan kerja oleh agensi pelaksana seperti JKR dan JPS. Maksudnya, arahan Menteri sahaja tidak membolehkan wang terus dibelanjakan. Kelulusan dan tatacara kewangan kerajaan tetap perlu dipatuhi.
“Ketiga, bagi tahun 2023 hingga 2025, pertambahan peruntukan JALB dibuat melalui pindahan peruntukan dalaman, tanpa melebihi siling keseluruhan Bajet Pembangunan tahunan KKDW yang telah diluluskan,” ujar beliau.
Malah katanya RM300 juta yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan sebagai “peruntukan tambahan” itu sebenarnya merupakan kebenaran berbelanja melalui Surat Kuasa Berbelanja (SKB), bagi menjelaskan tunggakan dan komitmen projek tahun-tahun sebelumnya.
“Dalam bahasa mudah, jumlah bagi JALB bertambah melalui penyusunan semula peruntukan dalam jumlah keseluruhan yang tersedia kepada Kementerian. Atas asas itu, pertambahan tersebut tidak memerlukan RUU Perbekalan Tambahan yang berasingan, tertakluk kepada kelulusan dan peraturan kewangan yang berkuat kuasa,” ujar beliau. – UMNO Online
