‘Kerajaan Silih Berganti, Reformasi Undang-undang Demi Rakyat Mesti Diteruskan’

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang Undang diberikan perhatian serius oleh kementerian melalui pelaksanaan kajian awal yang meneliti fungsi, struktur dan model pelaksanaannya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata antara fungsi utama yang sedang dipertimbangkan bagi suruhanjaya ini termasuklah menyemak undang-undang lapuk, mengenal pasti percanggahan dan kelompangan perundangan, serta memudahkan bahasa undang-undang.

“Suruhanjaya ini juga dicadangkan untuk menjalankan penyelidikan dan kajian perbandingan, mengadakan konsultasi awam serta mengemukakan syor pembaharuan undang-undang secara bebas, termasuk membantu penyediaan draf Rang Undang-Undang untuk pertimbangan kerajaan.

“Selain itu, mekanisme pelaporan dan maklum balas kerajaan terhadap syor yang dikemukakan turut akan diteliti.

“Dari segi perkembangan terkini, BHEUU sedang menilai model suruhanjaya yang bersesuaian dengan struktur perundangan dan pentadbiran Malaysia, dengan mengambil kira amalan di England dan Wales, Australia, New Zealand, Kanada serta India,” katanya.

Azalina berkata demikian ketika Penggulungan Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya lagi, kajian ini akan disusuli dengan sesi libat urus bersama kementerian, agensi Kerajaan, profesion undang-undang, ahli akademik dan masyarakat sivil.

Menurut beliau lagi bagi menyelaras usaha ini, sebuah Jawatankuasa Pemandu Kajian Penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Malaysia turut dicadangkan untuk ditubuhkan dan dipengerusikan beliau, dengan penglibatan agensi pusat serta kementerian berkaitan.

“Hasil kajian dan syor yang dimuktamadkan akan dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri sebelum perkembangan selanjutnya dimaklumkan kepada Dewan yang mulia ini.

“Sehubungan itu, selaras dengan pengumuman YAB Perdana Menteri dalam Belanjawan 2027, kerajaan akan meneruskan usaha memperhalusi cadangan penubuhan Suruhanjaya ini, termasuk dari segi mandat, tahap kebebasan, tadbir urus, pembiayaan serta mekanisme kebertanggungjawaban.

“Dalam hal ini, tanggungjawab penetapan dasar akan dicadangkan supaya kekal di bawah kementerian dan Jemaah Menteri, manakala urusan penggubalan undang-undang secara rasmi akan terus diselaraskan dengan Jabatan Peguam Negara.

“Penubuhan suruhanjaya ini penting bagi memastikan usaha pembaharuan undang-undang dilaksanakan secara berterusan dan tidak bergantung kepada mana-mana individu atau pentadbiran kerajaan. Kepimpinan boleh silih berganti. Kerajaan boleh bertukar. Tetapi usaha memperbaiki undang-undang demi keadilan rakyat mesti kekal sebagai tanggungjawab negara,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO