Gerak Kerja Penerangan, Sekretariat Digital UMNO Johor Terus Diperkukuh – Md Israk
JOHOR BAHRU, 24 Okt – Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor Md Israk Abdullah berkata perkongsian dan penerangan isu-isu semasa yang tuntas amat penting bagi memastikan barisan penerangan di peringkat bahagian dan Sekretariat Digital mempunyai kefahaman yang jelas, tepat dan menyeluruh dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Kata Exco Kerajaan Negeri Johor itu, pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 dan Pilihan Raya Umum (PRU-15) mengingatkan bahawa kemenangan di peringkat negeri bukan jaminan kemenangan di peringkat Parlimen.

“Justeru, gerak kerja penerangan perlu diperkukuh, lebih tersusun dan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan mesej perjuangan parti sampai kepada rakyat dengan berkesan.
“Penerangan bukan sekadar memuat naik kandungan di media sosial. Kita perlu turun ke akar umbi, memahami isu rakyat, menyampaikan fakta dengan jelas dan menjawab persoalan masyarakat secara berkesan.
“Kita juga perlu berani membina naratif berasaskan fakta, memperbaiki kelemahan sendiri dan memastikan setiap usaha komunikasi membawa makna kepada rakyat,” katanya.
Tambahnya lagi, UMNO Johor di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi akan terus memberikan yang terbaik dalam memperkukuh parti dan mendekati rakyat.
“Johor juga bersedia memainkan peranan penting sebagai penyumbang kerusi Parlimen dalam menghadapi PRU akan datang. Namun, hasrat ini perlu diterjemahkan melalui gerak kerja yang berdisiplin, kesepaduan jentera dan komitmen berterusan di setiap peringkat,” kata Ahli Dewan Undanngan Negeri (ADUN) Kukup itu.
Seterusnya, Md Israk percaya bahawa UMNO di bawah kepimpinan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan terus berusaha membina semula kekuatan parti dan mengembalikan kepercayaan rakyat.
“Melalui agenda Malaysia Biru, kita perlu membawa nafas baharu dalam perjuangan, memperkukuh keyakinan masyarakat serta memastikan UMNO terus relevan dengan aspirasi dan keperluan rakyat menjelang PRU akan datang.
“Insya-Allah, dengan perancangan yang rapi, disiplin, kesatuan dan komitmen bersama, kita akan terus memperkemas gerak kerja penerangan, memperkukuh sokongan di akar umbi dan melaksanakan amanah perjuangan dengan sebaik-baiknya.
“Johor bersedia menyumbang. UMNO terus melangkah. Perjuangan mesti diteruskan demi rakyat dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Md Israk bersyukur dapat hadir ke Program Jelajah Mega Penerangan UMNO Malaysia Peringkat Negeri Johor pada malam semalam.
Md Israk mengucapkan tahniah kepada Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina binti Othman Said, serta seluruh pasukannya atas inisiatif menganjurkan program yang amat bermakna itu. – UMNO ONLINE
