Belanjawan 2027: Hutang Melonjak RM1.38 Trilion, Mana Reformasi Fiskal?

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Kerajaan tidak boleh terus berbangga dengan angka peruntukan berbilion ringgit sedangkan persoalan disiplin fiskal, peningkatan hutang negara dan tekanan kos sara hidup rakyat masih belum terjawab, tegas Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat baru-baru ini, beliau mempersoalkan sama ada Belanjawan 2027 benar-benar berpaksikan kemampuan kewangan negara atau sekadar menawarkan unjuran optimistik tanpa penyelesaian tuntas terhadap masalah struktur ekonomi.

Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan bagaimana pembangunan negara mahu dibiayai apabila sebahagian besar hasil negara digunakan untuk menampung perbelanjaan mengurus, sedangkan keperluan pembangunan terus meningkat.

“Persoalannya, di ruang mana kerajaan ada selain terus-menerus bergantung kepada hutang baharu semata-mata mahu membiayai perbelanjaan pembangunan? Mana pergi laungan reformasi fiskal yang dijanjikan dulu?” katanya.

Manndzri berkata, angka hutang langsung negara yang mencecah RM1.38 trilion setakat Jun 2026, seperti dirujuk dalam ucapannya, berbanding RM725.2 bilion bagi tempoh sama pada 2018, menuntut penjelasan lebih meyakinkan daripada kerajaan mengenai hala tuju pengurusan kewangan negara.

Beliau turut mempersoalkan keupayaan kerajaan mengimbangi perbelanjaan mengurus dengan keperluan pembangunan, khususnya ketika negara memerlukan pembiayaan besar bagi melaksanakan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

“Rakyat di luar sana dihimpit kos sara hidup, tetapi kerajaan masih selesa dengan pendekatan ‘business as usual’, berbelanja besar tanpa reformasi struktur yang berani,” katanya.

Manndzri menegaskan bahawa kegagalan merasionalkan perbelanjaan kerajaan boleh menyebabkan negara terus bergantung kepada pinjaman baharu, sekali gus meningkatkan beban kewangan yang akhirnya perlu ditanggung generasi akan datang.

Beliau menggesa kerajaan mengemukakan pelan lebih berani untuk mengawal perbelanjaan mengurus, selain menjelaskan bagaimana sasaran defisit fiskal dapat dicapai tanpa menjejaskan projek pembangunan kritikal, terutama di kawasan luar bandar.

Katanya, kerajaan juga perlu menilai semula dasar pengecualian cukai kepada sektor korporat yang berpotensi mengurangkan hasil negara.

“Bila semua sektor korporat, jutawan maritim dan syarikat gergasi diberikan pelepasan cukai secara pukal, siapa yang membiayai perbelanjaan mengurus negara yang bernilai ratusan bilion ini?” soalnya.

Beliau mempersoalkan sama ada kekurangan hasil akibat pelbagai insentif dan pengecualian cukai akhirnya akan ditampung melalui hutang baharu atau langkah yang membebankan rakyat.

Sehubungan itu, Manndzri menggesa kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi membina sistem percukaian yang lebih stabil dan telus, dengan pengecualian barangan asas bagi melindungi golongan berpendapatan rendah.

Menyentuh agenda industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), beliau mempersoalkan sejauh mana pelaburan dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh diperbaharui mampu memberikan manfaat langsung kepada rakyat biasa.

Katanya, kejayaan menarik pelaburan besar tidak sepatutnya hanya diukur melalui nilai modal yang diumumkan, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Adakah pelaburan bernilai tinggi ini turut menyediakan tangga mobiliti sosial untuk anak-anak peneroka dan masyarakat luar bandar terlibat dalam rantaian bekalan bertaraf global, atau adakah mereka sekadar menjadi penonton di bumi sendiri?” katanya.

Beliau mengingatkan kerajaan supaya memastikan pertumbuhan ekonomi tidak melebarkan jurang antara bandar dengan luar bandar, sebaliknya membuka peluang kepada masyarakat setempat untuk menikmati hasil pembangunan.

Dalam isu pasaran buruh, Manndzri menyambut baik langkah menaikkan gaji minimum kepada RM2,000, namun mempersoalkan sama ada kerajaan menyediakan perlindungan mencukupi kepada PMKS yang berdepan peningkatan kos operasi.

Menurutnya, kenaikan gaji tanpa sokongan bersesuaian berisiko mendorong perniagaan kecil memindahkan kos kepada pengguna atau terpaksa menutup operasi.

“Adakah kerajaan sedar bahawa kenaikan kos buruh secara mendadak, tanpa adanya subsidi silang daripada kerajaan, akan memaksa peniaga kecil gulung tikar?” soalnya.

Katanya lagi, kerajaan perlu membuktikan Belanjawan 2027 bukan sekadar gah pada angka, tetapi benar-benar menjawab persoalan hutang negara, kos sara hidup dan keadilan pembangunan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO