‘Bawa Gelombang Biru Ke Melaka’
KUALA LUMPUR, 24 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin semangat dan kesiapsiagaan jentera parti di peringkat akar umbi menjadi kekuatan penting Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau yang juga Pengerusi BN berkata demikian selepas bertemu keluarga besar UMNO Bahagian Jasin malam tadi bagi meninjau sendiri persiapan jentera menghadapi PRN berkenaan.
Menurutnya, beliau melihat semangat luar biasa ditunjukkan oleh seluruh lapisan kepimpinan dan ahli parti, termasuk Wanita, Pemuda, Puteri serta gabungan pemimpin lama dan generasi baharu yang terus berdiri dalam satu saf perjuangan.
“Apabila yang muda menghormati yang lama dan yang lama menyayangi yang muda, insya-Allah perjuangan itu akan terus hidup,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid turut mengingatkan seluruh jentera supaya menyusun gerak kerja dengan teratur, merapatkan saf serta mempergiat usaha turun padang bagi menyantuni akar umbi dan mendekati rakyat.
Beliau menegaskan kemenangan tidak datang dengan mudah, sebaliknya memerlukan kerja keras dan komitmen berterusan untuk menambat hati rakyat, khususnya di Jasin.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera BN di Melaka supaya bergerak dengan satu tekad dan semangat yang sama bagi memastikan persiapan menghadapi PRN berjalan lancar.
“Gelanggang sudah dibuka. Jasin sudah menunjukkan semangatnya. Kini masanya seluruh jentera BN di Melaka bergerak dengan satu tekad.
“Johor sudah kita lihat. Negeri Sembilan sudah kita lalui. Insya-Allah, kini kita bawa gelombang biru ke Melaka,” ujar beliau. – UMNO Online
