Pemuda BN Tambun Terus Perkukuh Kerjasama

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Hubungan dan kerjasama antara kepimpinan Pemuda parti komponen Barisan Nasional (BN) di Parlimen Tambun terus diperkukuh menerusi Perjumpaan Khas Kepimpinan Pemuda Barisan Nasional (BN) Parlimen Tambun.

Ketua Pemuda UMNO Tambun, Akmal Zharif Ahmad Kamal berkata perjumpaan itu yang diadakan beberapa hari lalu menjadi platform penting untuk mempererat hubungan antara kepimpinan Pemuda parti komponen, selain menyelaraskan gerak kerja dan perancangan bagi memperkukuh kekuatan BN di peringkat akar umbi.

Screenshot

Menurut beliau perjumpaan berkenaan turut dihadiri Ketua Pemuda MCA Tambun, Maggie Chan Mei Kei; Ketua Pemuda MIC Tambun, Aroon Varmah; serta Ketua Pemuda PPP Negeri Perak, Jason Lee.

“Kerjasama erat antara Pemuda UMNO, MCA, MIC dan PPP dilihat penting dalam membina kesepakatan, menyatukan kekuatan serta memastikan setiap usaha yang dirancang dapat dilaksanakan secara tersusun demi kepentingan rakyat.

“Dalam masa sama, segala perancangan dan gerak kerja akan terus diperkemas bagi memastikan BN kekal relevan, mendapat kepercayaan rakyat serta mampu menawarkan pendekatan yang memenuhi keperluan masyarakat, khususnya golongan anak muda,” katanya kepada UMNO Online.

Akmal Zharif seterusnya berharap segala usaha dan perancangan dapat dilaksanakan dan digerakkan sebaiknya untuk membantu  parti  terus melangkah ke depan.

“Semoga segala perancangan yang dirangka mendapat kelancaran dan menjadi pemangkin kepada pengukuhan kerjasama serta perpaduan dalam kalangan Pemuda parti komponen BN di Parlimen Tambun.” ujarnya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO