Melaka Sayang Rakyat: Terus Amalkan Dengar Suara Hati Masyarakat
MASJID TANAH, 23 Okt – Pendekatan mesra rakyat terus menjadi pegangan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang melihat pertemuan secara langsung dengan masyarakat sebagai ruang terbaik untuk mendengar suara hati serta memahami keperluan rakyat.
Menurut beliau, pasar merupakan antara lokasi paling mudah untuk mendekati masyarakat, bertemu kenalan lama, beramah mesra dengan peniaga dan mendengar sendiri pelbagai cerita rakyat.

Katanya, kesempatan turun sendiri ke pasar bukan sahaja membolehkannya melihat keadaan harga barangan, malah memberi peluang untuk mendengar pengalaman serta pandangan masyarakat secara lebih dekat.
“Bila kita turun dan duduk bersama rakyat, banyak perkara kita belajar. Macam yang saya selalu sebut, nak jadi wakil rakyat, kenalah jadi rakyat terlebih dahulu!” katanya.
Dalam satu lagi kunjungan berasingan semalam, Ab Rauf bersama Datuk Seri Sulaiman Md Ali, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, turut singgah bersantai di Kedai Ghani Nasi Gunting dan Pasar Pekan Masjid Tanah.
Sambil bersarapan, beliau mengambil kesempatan untuk bersembang dengan peniaga dan rakyat, sekali gus mendengar sendiri pandangan mereka mengenai perkara yang dirasai dan diperlukan dalam kehidupan seharian.
Bagi Ab Rauf, pendekatan turun padang tidak seharusnya sekadar memenuhi kehadiran di sesuatu lokasi, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk mendengar kisah serta pendapat rakyat Melaka.
“Bagi saya, turun padang bukan sekadar hadir ke lapangan, tetapi nak dengar kisah dan pendapat orang Melaka,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun pertemuan bersama rakyat berlangsung dalam suasana santai, tanggungjawab untuk menjaga kebajikan mereka tidak boleh sesekali diketepikan.
“Nak bersantai boleh, tapi tanggungjawab untuk menjaga rakyat, jangan sesekali kita abaikan. Barulah bererti makna ‘Melaka Sayang Rakyat’” katanya lagi. – UMNO Online
