Hormati Proses Kehakiman, Kekalkan Konsistensi Undang-Undang – Ahli Parlimen Kuala Pilah

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan berkata semua pihak perlu menghormati proses kehakiman dan mengelakkan kenyataan yang mendahului keputusan mahkamah berkaitan kuasa budi bicara pendakwa raya susulan keputusan pelepasan tanpa pembebasan atau DNAA kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau perkara ini membuka ruang untuk  meneliti persoalan yang lebih besar, iaitu bagaimana kuasa budi bicara pendakwa raya dilaksanakan dan bagaimana keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dapat dipelihara.

“Merujuk kepada kes Sundra Rajoo Nadarajah v. Menteri Luar Negeri, Malaysia & Ors (2021), Mahkamah Persekutuan telah membincangkan kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan prosiding bagi sesuatu kesalahan. Kuasa ini penting dalam sistem keadilan, tetapi pelaksanaannya hendaklah berlandaskan undangundang dan prinsip yang konsisten.

“Kuala Pilah ingin menegaskan bahawa prinsip undangundang yang sama mesti terpakai kepada semua individu tanpa mengira kedudukan atau parti politik. Sebelum ini terdapat banyak kes yang menggunakan peruntukan yang sama bagi menarik balik pertuduhan termasuk kes YB Bagan Datuk, Rafizi Ramli, Tamrin Ghafar Baba dan aktivis Haris Ibrahim.

“Apa yang lebih menarik ialah kes Haris Ibrahim yang telah pun disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman. Namun, pihak pendakwaan tidak membantah rayuannya sehingga sabitan tersebut diketepikan oleh mahkamah. Dalam kes  Bagan Datuk, Rafizi Ramli dan Tamrin Ghafar Baba pula, pertuduhan ditarik balik selepas representasi dikemukakan dan tertuduh dilepas serta dibebaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Parlimen, di sini, hari ini.

Adnan seterusnya menegaskan contoh-contoh yang dibangkitkan itu bukan untuk menyamakan fakta atau keadaan undang-undang setiap kes, tetapi untuk menegaskan bahawa keputusan pendakwaan perlu dinilai berdasarkan fakta, bukti dan undang-undang, bukannya sematamata berdasarkan identiti individu yang terlibat.

Tegasnya jika kuasa budi bicara pendakwa raya diterima dalam kes-kes terdahulu, mengapakah prinsip yang sama tidak boleh digunakan apabila kita menilai kes lain, termasuk kes yang melibatkan Bagan Datuk dan ini bukan soal mempertahankan mana-mana individu atau parti politik, tetapi soal konsistensi dalam mengamalkan prinsip undang-undang.

“This is actually the rule of law. Jangan sampai timbul persepsi bahawa prinsip keadilan berubah mengikut siapa yang mendapat manfaat. Bak kata bidalan, “Tiba di perut dikempiskan, tiba di mata dipicingkan, tiba di dada dibusungkan.

” Jangan apabila keputusan pendakwaan memihak kepada individu tertentu, kita pertahankan kuasa budi bicara pendakwa raya, tetapi apabila keputusan yang sama melibatkan individu lain yang tidak kita gemar, kita persoalkan kuasa tersebut,” ujarnya.

Ujarnya lagi tindakan Jelutong mendesak Perdana Menteri untuk campur tangan dan menasihati Peguam Negara adalah satu perkara yang dilihat sebagai cubaan untuk mempengaruhi dan mewujudkan bias dalam sistem perundangan dan pendakwaan.

“Peguam Negara sepatutnya bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada Kerajaan, bukan sebaliknya. Keputusan pendakwaan hendaklah dibuat secara bebas berdasarkan fakta, bukti dan undang-undang. Sekiranya terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan, saluran undang-undang yang sewajarnya perlu digunakan dan proses mahkamah hendaklah dihormati.

“Kuala Pilah menyokong prinsip yang pernah ditegaskan oleh Perdana Menteri sendiri, iaitu keputusan pendakwaan hendaklah dibuat secara bebas berdasarkan undang-undang dan tidak dipengaruhi oleh hubungan politik.

“Kuala Pilah berharap kerajaan terus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi pendakwaan melalui ketelusan, akauntabiliti dan konsistensi dalam pelaksanaan undang-undang.

“Selagi Perkara 145(3) kekal berkuat kuasa, kuasa tersebut hendaklah dilaksanakan mengikut Perlembagaan dan undang-undang. Jika kerajaan berpandangan bahawa struktur kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu diubah bagi memperkukuh kebebasan pendakwaan serta akauntabiliti, maka pembaharuan perlembagaan dan institusi perlu dipertimbangkan secara serius, bukannya melalui campur tangan politik dalam kes tertentu,” tambahnya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO