Krisis Asia Barat Cetus Kenaikan Surcaj AFA – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Faktor utama kenaikan surcaj Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) adalah disebabkan krisis geopolitik di Asia Barat yang bermula pada hujung Februari 2026, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Katanya, krisis ini mendorong kenaikan harga bahan api seperti gas asli dan arang batu di peringkat global serta ketidaktentuan pasaran yang berpanjangan sekali gus mengakibatkan peningkatan kos penjanaan elektrik negara.

“Kementerian menyedari bahawa peningkatan harga bahan api global serta cuaca panas yang berpanjangan telah memberi kesan kepada peningkatan bil elektrik pengguna. Kerajaan telah mengumumkan perluasan perlindungan bil elektrik yang merangkumi pengecualian pelarasan AFA, cukai jualan dan perkhidmatan.

“Caj peruncitan bagi pengguna domestik yang kini ditingkatkan kepada 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan bersamaan dengan anggaran bil bulanan sebanyak RM328 dan ke bawah bermula pada September hingga 31 Disember 2026. Langkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan ini memberikan perlindungan tambahan kepada kira-kira 90 peratus atau 8 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia.

“Kementerian bersama-sama ST telah mengambil tindakan awal untuk meneliti cadangan penambahbaikan mekanisme AFA sedia ada, termasuk pengenalan AFA berperingkat (tiered AFA) yang dirancang untuk dilaksanakan bermula tahun 2027,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan punca peningkatan ketara bil elektrik sejak Mei dan Jun 2026, khususnya kesan perubahan Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) daripada rebat -0.47 sen/kWj pada April kepada surcaj +2.59 sen/kWj pada Jun dan +3.67 sen/kWj pada September, serta sejauh mana mekanisme AFA akan dikaji semula.

Tambah Abdul Rahman, langkah ini penting bagi memastikan setiap keputusan berkaitan tarif elektrik dibuat dengan seimbang bagi memastikan bekalan elektrik negara mampu milik, terjamin serta mampan.

“Pendekatan ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk terus menangani isu kos sara hidup serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” jelasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO