Belanjawan 2027 Perkukuh Pelancongan Sabah

KUALA LUMPUR, 10 Okt — Sabah menyambut baik pembentangan Belanjawan 2027 yang memberi penekanan khusus kepada pembangunan negeri, pengukuhan sektor pelancongan, serta peningkatan kesalinghubungan antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pembangunan sektor pelancongan dan pemuliharaan alam sekitar mesti sentiasa bergerak seiring. Menurut beliau, khazanah biodiversiti Sabah merupakan aset yang tidak ternilai dan perlu terus dilindungi melalui pendekatan pembangunan yang bertanggungjawab.

Belanjawan 2027 membawa pelbagai peruntukan dan inisiatif penting yang menyokong persiapan menjelang kempen Visit Sabah 2027, antaranya merangkumi:

• Peruntukan Persekutuan kepada Sabah meningkat kepada RM18.7 bilion, berbanding RM17.6 bilion pada tahun ini.

• Sebanyak RM935 juta diperuntukkan bagi sektor pelancongan dan kebudayaan di peringkat nasional, yang memberi ruang kepada Sabah untuk memperkukuh promosi destinasi, pembangunan produk pelancongan, serta pemeliharaan warisan budaya.

• Penyediaan geran padanan bagi penerbangan antarabangsa dan penerbangan sewa khas yang berpotensi memperkukuh hubungan udara Sabah dengan pasaran utama seperti China, India, Asia Tengah, dan Eropah.

• Lembah Danum dikenal pasti sebagai salah satu tapak warisan berpotensi untuk penambahbaikan kemudahan serta pengiktirafan UNESCO.

• Peningkatan jaringan jalan raya bagi memperluas akses ke destinasi pelancongan luar bandar serta merancakkan aktiviti ekonomi komuniti setempat.

Ujar Jafry, inisiatif-inisiatif ini dijangka mampu meningkatkan ketibaan pelancong, menggalakkan tempoh penginapan yang lebih panjang, serta memastikan manfaat ekonomi pelancongan dinikmati oleh lebih ramai rakyat Sabah.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua UMNO Sabah menegaskan bahawa Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) akan terus bekerjasama rapat dengan kementerian serta agensi Persekutuan.

Langkah ini bagi memastikan inisiatif Belanjawan 2027 dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang berdaya saing dan mampan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO