Cek RM231 Juta MYEG … Anthony Loke Perlu Beri Penjelasan

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Isu cek bernilai RM231 juta yang dikaitkan dengan MYEG dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mencetuskan persoalan apabila pembayaran berkenaan didakwa melibatkan cek bertarikh hadapan (post-dated cheque) sebelum timbul dakwaan cek itu diarahkan untuk ditolak.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar, membangkitkan empat persoalan utama yang menurutnya memerlukan penjelasan segera daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, serta pihak pengurusan MYEG/Zetrix.

Antara persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada perjanjian MYEG dengan JPJ membenarkan penggunaan cek bertarikh hadapan bagi pembayaran kutipan berjumlah ratusan juta ringgit.

Beliau turut mempersoalkan sama ada pembayaran boleh dibuat secara terkumpul bagi sesuatu tempoh, sedangkan setiap transaksi yang berjaya sepatutnya mempunyai rekod pembayaran dan proses rekonsiliasi yang jelas.

“Adakah perjanjian antara MYEG dan JPJ membenarkan penggunaan cek post-dated? Adakah kutipan boleh dibayar secara pukal dan bukannya mengikut transaksi yang berjaya?” katanya.

Gulam turut meminta penjelasan mengenai tarikh sebenar cek berkenaan dan sebab tempoh yang panjang antara tarikh penyerahan dengan tarikh pengkreditan yang didakwa berlaku.

Menurut maklumat yang dibangkitkannya, cek RM231 juta itu dikatakan diserahkan pada 21 Ogos 2026 dan dikreditkan pada 30 September 2026, sebelum timbul dakwaan mengenai arahan penolakan cek berkenaan.

“Apakah tarikh sebenar cek itu? Mengapa pembayaran mengambil masa begitu lama? Rakyat berhak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan mengapa pembayaran berjumlah RM231 juta menggunakan cek dan bukannya pindahan elektronik atau kaedah pembayaran berkala yang lebih mudah dijejaki, sekiranya dibenarkan oleh perjanjian.

“Rakyat membuat pembayaran secara dalam talian, tetapi pembayaran kepada kerajaan yang melibatkan jumlah begitu besar masih menimbulkan persoalan mengenai penggunaan cek. Mengapa tidak menggunakan pindahan elektronik?” katanya.

Berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun dalam sektor perbankan, Gulam berkata penggunaan cek bertarikh hadapan boleh menimbulkan persoalan mengenai pengurusan aliran tunai dan tempoh penyelesaian pembayaran.

Beliau mempersoalkan sama ada kaedah pembayaran yang didakwa digunakan dalam kes ini mempunyai justifikasi operasi yang jelas atau memerlukan penelitian lanjut.

Sehubungan itu, beliau mahu Anthony Loke menjelaskan sama ada Kementerian Pengangkutan dan JPJ mengetahui status sebenar cek berkenaan, terma pembayaran yang dipersetujui serta dakwaan arahan supaya cek itu ditolak.

“Adakah YB Anthony Loke mengetahui perkara ini? Saya mahu penjelasan yang jelas kerana jumlah RM231 juta bukanlah jumlah yang kecil,” katanya.

Gulam menegaskan bahawa empat persoalan tersebut perlu dijawab bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan tatakelola kewangan yang baik dalam urusan kutipan serta pembayaran melibatkan JPJ.

Beliau turut menggesa pihak berkaitan mengemukakan penjelasan berdasarkan dokumen perjanjian, rekod bank dan kronologi transaksi sebenar supaya segala keraguan dapat diperjelaskan.

The Straits Times (ST) sebelum ini melaporkan Zetrix AI berhutang lebih RM200 juta dengan JPJ membabitkan kutipan pembaharuan cukai jalan, lesen memandu dan saman trafik.

Dokumen rasmi yang didakwa dilihat oleh akhbar Singapura itu menunjukkan Zetrix gagal menyerahkan kutipan berkenaan sejak permulaan kontrak tiga tahun dengan JPJ pada Mei 2023. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO