Daripada Buli Kepada Keganasan: Jangan Tunggu Nyawa Melayang

ADA anak yang ke sekolah membawa impian. Ada keluarga yang menunggu kepulangannya dengan penuh harapan. Apabila seorang anak kehilangan nyawa, seluruh keluarga terpaksa menanggung kehilangan yang tidak mampu diganti.

Pemergian adik Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, pelajar berusia 16 tahun dalam kejadian di sebuah sekolah di Yong Peng, amat menyayat hati. Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarganya. Semoga Allah SWT merahmati Allahyarham dan mengurniakan kekuatan kepada mereka yang ditinggalkan.

Kes ini masih dalam siasatan polis dan motif kejadian belum dipastikan. Kita perlu memberi ruang kepada siasatan untuk menentukan perkara sebenar dan memastikan keadilan ditegakkan berasaskan bukti.

Screenshot

Namun, tragedi ini menuntut kita menilai dengan serius keselamatan anak-anak di sekolah serta cara kita menangani buli, ancaman dan keganasan dalam kalangan pelajar.

Membuli sudah merupakan perbuatan yang zalim. Jika seseorang sanggup mencederakan sehingga meragut nyawa, kita sedang berdepan keganasan yang tidak boleh diberi ruang atau alasan.

Ungkapan “budak-budak bergurau” tidak boleh digunakan untuk mengecilkan perbuatan yang menyakitkan, mengugut atau mengaibkan. Anak yang takut hadir ke sekolah memerlukan perlindungan. Anak yang mengadu memerlukan tindakan. Mereka tidak sepatutnya disuruh bertahan sehingga keadaan menjadi lebih buruk.

Pihak sekolah mesti telus dan tidak menyembunyikan kes buli atau salah laku disiplin semata-mata untuk menjaga nama baik sekolah.

Prinsip ini mesti terpakai kepada semua sekolah. Setiap aduan perlu direkodkan, disiasat dengan adil dan disusuli. Ibu bapa atau penjaga yang terlibat perlu dimaklumkan, sementara identiti serta privasi murid dilindungi.

Nama baik sekolah dibina melalui amanah dan keberanian menangani masalah. Apabila keselamatan pelajar dipertaruhkan, menjaga imej tidak boleh menjadi keutamaan.

Murid juga mesti mempunyai saluran aduan yang mudah dan selamat. Mereka perlu tahu kepada siapa boleh mengadu dan bagaimana mereka akan dilindungi selepas bersuara. Mangsa serta saksi tidak boleh dibiarkan berdepan ugutan atau tindakan balas.

Sebaik sahaja aduan diterima, pihak sekolah perlu menilai risiko dan mengambil langkah perlindungan segera. Jangan memaksa mangsa bersemuka atau “berdamai” sebelum keselamatannya terjamin. Jika terdapat serangan, senjata atau ancaman serius, bantuan pihak berkuasa mesti diperoleh dengan segera.

Tindakan terhadap pelaku pula perlu tegas, setimpal dan melalui proses yang adil. Kaunseling serta pemulihan perlu disertai pemantauan yang berterusan. Permohonan maaf tidak memadai jika gangguan masih berlaku.

Pengawasan di sekolah juga perlu diperbaiki. Kawasan yang sunyi, waktu selepas kelas, aktiviti tambahan dan pergerakan pelajar memerlukan perhatian. Setiap sekolah perlu menilai kelemahan keselamatannya dan mengambil tindakan sebelum berlaku kejadian buruk.

Ibu bapa turut memainkan peranan. Dengarkan anak tanpa terus menyalahkan atau memperkecilkan perasaannya. Jika mereka tiba-tiba enggan ke sekolah, kehilangan barang atau berubah tingkah laku, luangkan masa untuk bertanya. Kadangkala, seorang anak sedang mencari keberanian untuk menceritakan sesuatu yang menakutkannya.

Rakan sebaya pula perlu diajar mendapatkan bantuan dengan selamat. Jangan mentertawakan penghinaan, membantu mengugut atau menyebarkan rakaman yang mengaibkan mangsa. Keberanian seorang saksi untuk melapor boleh membuka jalan kepada perlindungan.

Dalam menuntut keadilan untuk Irene Sofiya, kita juga perlu menjaga maruah Allahyarham dan keluarganya. Elakkan menyebarkan khabar angin, gambar yang mengaibkan atau tuduhan yang belum disahkan. Keluarganya berhak mendapat jawapan melalui siasatan yang menyeluruh dan telus.

Kesedihan masyarakat perlu diterjemahkan kepada pembaikan yang nyata , aduan yang didengar, perlindungan yang segera, pengawasan yang berkesan dan tindakan yang konsisten.

Sekolah mesti menjadi tempat anak-anak membina masa depan dengan selamat. Jangan tunggu kehilangan nyawa untuk mengambil serius suara mereka.

Al-Fatihah buat Allahyarham Irene Sofiya. Semoga keadilan ditegakkan dan keluarganya diberikan kekuatan menghadapi kehilangan ini.


DATUK NORSHIDA IBRAHIM

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO