Dap Jangan Jadi Batu Api, Jaga Parti Jangan Cuba Mengatur UMNO

1. Saya merujuk kepada kenyataan Naib Pengerusi Dap Johor, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali yang bukan sahaja mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan, malah dengan angkuhnya mahu Perdana Menteri melucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri serta menentukan sendiri penggantinya daripada kalangan pemimpin UMNO.

2. Saya ingin bertanya: Sejak bila seorang pemimpin Dap diberikan mandat untuk menentukan siapa yang layak memimpin UMNO? Sejak bila pula pelantikan dan kedudukan pemimpin UMNO perlu mendapat restu Dap?

3. Jangan melampaui batas. Kepimpinan UMNO ditentukan oleh ahli-ahli UMNO melalui Perlembagaan dan proses pemilihan parti. Ia bukan diputuskan dalam mesyuarat CEC Dap, bukan ditentukan melalui tekanan politik dan sama sekali bukan urusan seorang Naib Pengerusi Dap peringkat negeri.

4. Lebih menjengkelkan, beliau bukan sahaja mahu Presiden UMNO berundur, malah sudah sibuk menyusun nama pemimpin UMNO yang kononnya lebih sesuai menjadi pengganti. Ini bukan pandangan politik yang ikhlas. Ini cubaan terang-terangan untuk mencampuri, mengatur dan memecah-belahkan UMNO dari luar.

5. Jika benar beliau begitu gemar menyediakan senarai pengganti, hantarlah senarai itu kepada partinya sendiri. Mungkin Dap memerlukan penasihat tambahan untuk menyelesaikan masalah dalamannya. Namun, jangan sesekali menghantarnya ke Menara Dato’ Onn. UMNO tidak pernah membuka tender kepada Dap untuk memilih Presidennya.

6. Hakikatnya, isu ini bermula dari dalam rumah Dap sendiri. Sheikh Umar sendiri mengakui bahawa ramai ahli CEC Dap pada awalnya tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat. Jika rumah sendiri masih berserabut, kemaskanlah dahulu. Jangan cuba menyapu masalah sendiri ke halaman UMNO, kemudian berpura-pura menjadi penjaga kebersihan politik negara.

7. Berhubung dakwaan bahawa Presiden UMNO telah memalukan Perdana Menteri, saya tegaskan bahawa Presiden UMNO berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO, di hadapan perwakilan UMNO, mengenai kepentingan dan masa depan UMNO. Itulah tanggungjawab seorang Presiden kepada kira-kira 3.2 juta ahli parti—bukannya satu kesalahan yang memerlukan keizinan Dap.

8. Dalam ucapan yang sama, Presiden UMNO turut menegaskan dengan jelas bahawa UMNO akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal. Mungkin bahagian itu tidak dibaca oleh Senator berkenaan, atau sengaja diketepikan kerana fakta tersebut meruntuhkan naratif politik yang cuba dijualnya.

9. UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan sebagai sebuah parti yang mempunyai maruah, pendirian dan suara—bukan sebagai penumpang yang perlu diam, tunduk dan mengangguk kepada setiap kehendak Dap. Kerajaan Perpaduan dibina atas semangat permuafakatan dan saling menghormati, bukannya dominasi mana-mana parti terhadap parti yang lain.

10. Menyuarakan kebimbangan rakyat terhadap pelaksanaan sesuatu dasar bukanlah perbuatan menentang kerajaan. Itulah tanggungjawab seorang pemimpin yang mendengar denyut nadi rakyat. Jangan kerana tidak selesa ditegur, semua pandangan berbeza mahu dilabel sebagai pengkhianatan.

11. Jika setiap pemimpin yang menyuarakan keresahan rakyat mesti meletakkan jawatan, maka banyak kerusi dalam kerajaan perlu dikosongkan—termasuk beberapa kerusi yang sedang diduduki oleh pemimpin Dap sendiri.

12. Lebih serius, tindakan menyenaraikan pemimpin UMNO yang kononnya “lebih komited” dan layak menggantikan Presiden merupakan taktik pecah dan perintah yang amat mudah dibaca. Jangan cuba melagakan pemimpin UMNO sesama sendiri. Mereka yang disebut itu berdiri di atas landasan, perjuangan dan kepimpinan parti yang sama.

13. UMNO bukan anak syarikat Dap. UMNO juga tidak memerlukan “remote control” daripada mana-mana pemimpin Dap. Kerjasama dalam kerajaan tidak memberikan lesen kepada Dap untuk menceroboh urusan dalaman rakan politiknya.

14. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berdiri teguh di belakang Presiden UMNO dan kepimpinan parti. Jangan salah tafsir kesabaran UMNO sebagai kelemahan. Kami menghormati rakan dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi penghormatan mestilah berbalas dan sempadan mestilah dijaga.

15. Kepada Senator Sheikh Umar, nasihat saya mudah: jaga rumah sendiri sebelum mahu mengubah susunan perabot di rumah orang lain. Jangan menjadi batu api dalam Kerajaan Perpaduan semata-mata untuk meraih perhatian politik.

16. Rakyat sedang berhadapan dengan tekanan kos sara hidup, peluang pekerjaan belia, isu perumahan serta cabaran ekonomi. Itulah perkara yang sepatutnya diberikan perhatian—bukannya sibuk menentukan siapa patut memimpin UMNO dan siapa patut menduduki jawatan dalam kerajaan.

Cukuplah mencampuri urusan UMNO. Jangan uji kesabaran akar umbi kami.

YB MOHD HAIRI BIN MAD SHAH

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO