Menjunjung Kasih Atas Perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong

𝟬𝟭 | 𝗠enjunjung Perkenan, Menghormati Perlembagaan

Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis menjunjung setinggi-tinggi kasih ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan Baginda memberikan pengampunan bersyarat kepada Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, sekali gus membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

UMNO Negeri Perlis menerima keputusan ini dengan penuh kesyukuran, hormat dan tertib, serta terus menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu.

Dalam soal pengampunan, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan telah menyediakan kerangka kuasa dan prosesnya. Justeru, apabila sesuatu keputusan telah diperkenankan melalui proses yang sah, sewajarnya semua pihak menerimanya dengan kematangan dan adab bernegara.

𝟬𝟮 | 𝗞esyukuran Keluarga Besar 𝗨𝗠𝗡𝗢

Kepada seluruh keluarga besar UMNO, marilah kita menzahirkan kesyukuran.

Kita memahami betapa besarnya harapan ahli-ahli parti untuk melihat Dato’ Sri Najib kembali bersama keluarga dan masyarakat. Hari ini, sebahagian daripada doa dan harapan tersebut telah diberikan jalan.

Syukurilah perkembangan ini dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan. Setelah sekian lama menanti, berdoa dan berharap, hari ini Allah membuka satu lagi ruang buat Dato’ Sri Najib. Kita menyambutnya dengan rasa lega, penuh kesyukuran dan keyakinan bahawa setiap perjalanan mempunyai hikmah serta kesudahannya.

𝟬𝟯 | 𝗣enghargaan Kepada Presiden 𝗨𝗠𝗡𝗢

Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, atas usaha yang dilaksanakan dengan penuh kebijaksanaan, kesabaran dan tertib, melalui saluran Perlembagaan serta lunas undang-undang dalam membantu Dato’ Sri Najib.

Presiden UMNO hari ini turut menyeru ahli parti supaya mensyukuri keputusan tersebut, menjaga adab serta terus menghormati proses yang telah ditetapkan.

Inilah pendekatan yang sewajarnya; berusaha bersungguh-sungguh, tetapi tetap menghormati undang-undang, Perlembagaan dan institusi.

𝟬𝟰 | 𝗧abung Solidariti Dato’ Sri Najib

Selaras dengan pengumuman UMNO untuk menggerakkan kutipan sumbangan bagi membantu Dato’ Sri Najib memenuhi pembayaran denda RM50 juta yang menjadi antara syarat pengampunan tersebut, Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis dengan ini melancarkan Tabung Solidariti Dato’ Sri Najib di peringkat negeri.

Tabung ini dibuka kepada ahli-ahli UMNO, para penyokong serta sesiapa sahaja yang secara sukarela ingin bersama-sama menghulurkan sumbangan.

Nilai sebuah solidariti bukan semata-mata diukur pada besar atau kecil jumlah yang diberikan, tetapi pada keikhlasan untuk berdiri bersama ketika diperlukan.

Sumbangan boleh disalurkan melalui nombor akaun di bawah yang diseliakan oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia:

Nama Akaun:

𝗣𝗘𝗥𝗧𝗨𝗕𝗨𝗛𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗕𝗔𝗡𝗚𝗦𝗔𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗟𝗔𝗬𝗨 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗔𝗧𝗨 (𝗨𝗠𝗡𝗢)

Nombor Akaun: 𝟴𝟲𝟬𝟰𝟴𝟴𝟲𝟬𝟵𝟰

Bank: 𝗖𝗜𝗠𝗕 𝗜𝗦𝗟𝗔𝗠𝗜𝗖

Terima kasih atas keprihatinan, sokongan dan keikhlasan seluruh rakyat yang bersama dalam inisiatif ini.

𝟬𝟱 | 𝗕erbeza Pandangan, Kekal Menghormati Institusi

Kepada seluruh rakyat Malaysia, sama ada yang menerima keputusan ini dengan kegembiraan ataupun mempunyai pandangan yang berbeza, marilah kita menguruskan perbezaan tersebut dengan kematangan.

Kematangan sesebuah negara bukan hanya terlihat ketika semua pihak bersetuju. Ia benar-benar teruji apabila kita mampu terus menghormati Perlembagaan, institusi dan proses yang sah meskipun sesuatu keputusan tidak sama dengan kehendak kita.

Allah SWT berfirman:

وَعَسَىٰ أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَىٰ أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagi kamu; dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia buruk bagi kamu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 216)

Kita hanya mampu menilai apa yang terbentang pada hari ini. Allah mengetahui seluruh perjalanan, hikmah dan kesudahannya.

𝟬𝟲 | 𝗠enutup Pertelingkahan,Membuka Lembaran Baharu

Justeru, janganlah keputusan ini dijadikan gelanggang untuk memanjangkan pertelingkahan.

Yang bersyukur, bersyukurlah dengan adab.

Yang berbeza pandangan, berbezalah dengan tertib.

Politik boleh berbeza. Pendirian boleh berlainan. Namun Perlembagaan tetap kita junjung dan institusi Raja tetap kita hormati.

Semoga perkembangan ini membawa ketenangan kepada Dato’ Sri Najib dan keluarga serta membuka lembaran yang lebih baik buat semua.

 

𝗗𝗔𝗨𝗟𝗔𝗧 𝗧𝗨𝗔𝗡𝗞𝗨

Datuk Rozabil Abd Rahman

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO