Semua Pihak Wajib Hormat Proses Pengampunan Di Bawah Perlembagaan Persekutuan
KUALA LUMPUR, 17 Sept — Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang menegaskan bahawa perbahasan berhubung permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak hendaklah dilakukan dengan penuh tertib, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan serta menghormati kedudukan Yang di-Pertuan Agong.
Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rakyat perlu memahami bahawa mahkamah, penjara dan pengampunan merupakan tiga perkara yang berbeza dalam kerangka undang-undang serta Perlembagaan negara.

“Mahkamah menjalankan proses perbicaraan, menentukan sabitan dan menjatuhkan hukuman berdasarkan undang-undang. Institusi penjara pula melaksanakan hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah.
“Sementara itu, pengampunan merupakan suatu proses perlembagaan yang berasingan, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan media berkaitan hal ini.
Menurut beliau, permohonan pengampunan bukanlah suatu perbicaraan semula, bukan rayuan tambahan di mahkamah dan bukan tindakan untuk mengambil alih fungsi badan kehakiman.
“Sebaliknya, pengampunan merupakan suatu kuasa mutlak dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada proses dan tatacara perlembagaan yang berkenaan,” katanya.
Wan Rosdy berkata, tindakan memohon pengampunan untuk Najib tidak bermaksud UMNO menolak keputusan mahkamah.
“Menghormati keputusan mahkamah dan menggunakan proses pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan merupakan dua perkara yang boleh berjalan serentak dalam kerangka undang-undang negara,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata UMNO memandang serius tindakan sesetengah pihak yang secara terbuka mendesak supaya permohonan pengampunan tersebut tidak diperkenankan.
“Kenyataan yang seolah-olah menetapkan keputusan yang mesti dibuat sebelum proses berkenaan selesai boleh dilihat sebagai suatu bentuk tekanan awam terhadap pelaksanaan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya menghormati peranan mahkamah dalam menentukan sabitan dan hukuman, memahami bahawa pengampunan ialah suatu proses perlembagaan yang berasingan serta tidak mendahului atau cuba mendesak keputusan dalam proses pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“UMNO akan sentiasa menjunjung dan menghormati institusi Raja Berperlembagaan sebagai tonggak kedaulatan dan kestabilan negara,” katanya lagi. – UMNO Online
