Menerokai Maksud Tersirat Agenda Malaysia Biru Dan Tafahum Siayasi

1. Ada dua istilah daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang pada hemat saya tidak boleh dibaca secara sepintas lalu, iaitu Agenda Malaysia Biru dan Tafahum Siyasi.

Jika digabungkan, kedua-duanya membawa makna yang jauh lebih besar daripada soal kerusi, pilihan raya atau kerjasama sementara antara parti.

2. “Agenda Malaysia Biru” ialah kerangka jangka panjang menuju Malaysia yang berdaulat, bersatu, makmur dan disegani.

Tafahum Siyasi” pula membawa maksud persefahaman politik tanpa menghapuskan identiti parti. Jika dibaca bersama, ia bukan sekadar janji UMNO dan BN untuk kembali ke Putrajaya, mahupun ajakan sementara kepada Pas.

3. Bagi saya, ini ialah bicara berfalsafah tinggi daripada seorang pemimpin yang terbukti berjaya menakhodai UMNO ketika kapalnya hampir karam. Presiden UMNO memimpin parti yang kehilangan kuasa dan diserang bertubi-tubi dari pelbagai arah, sehingga kadangkala dendam politik kelihatan lebih besar daripada perjuangan membela rakyat.

4. Presiden UMNO ialah pemimpin yang tidak mudah dibaca pemikirannya. Selepas semalaman saya merenung dua istilah ini, saya melihat bahawa apabila Agenda Malaysia Biru dan Tafahum Siyasi disatukan, ia memberi petunjuk kepada suatu perubahan landskap politik yang besar dengan UMNO dan BN mahu kembali menjadi peneraju.

5. Sejak pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, politik Melayu memasuki era perpecahan yang tidak pernah benar-benar dipulihkan. Satu perpecahan melahirkan perpecahan baharu, sehingga terlalu banyak tenaga bangsa dihabiskan untuk menewaskan sesama sendiri, sedangkan cabaran ekonomi, pendidikan dan masa depan generasi terus menunggu penyelesaian.

6. Dalam konteks inilah “Rumah Bangsa” acuan Presiden UMNO mempunyai makna yang lebih besar daripada sekadar membawa pulang bekas pemimpin.

Ia ialah usaha mengutip semula cebisan perjuangan yang berselerak akibat pertarungan kuasa, termasuk pejuang yang tersisih, kecewa atau terkorban kerana ketamakan dan nafsu untuk menjadi penguasa.

7. “Tafahum Siyasi” mengakui bahawa penyatuan tidak semestinya bermaksud pembubaran identiti. UMNO tidak perlu menjadi Pas, dan Pas tidak perlu menjadi UMNO.

Perbezaan boleh kekal, tetapi ia tidak sepatutnya memaksa orang Melayu terus bertembung sehingga kekuatan politik sendiri semakin lemah.

8. “Agenda Malaysia Biru” pula memberikan arah kepada persefahaman itu. Penyatuan tanpa agenda kenegaraan hanya menjadi pakatan pilihan raya, manakala agenda tanpa kestabilan politik sukar dilaksanakan. Tafahum Siyasi menjawab bagaimana kekuatan disusun, manakala Agenda Malaysia Biru menjawab untuk apa kekuatan itu digunakan.

9. Bertambahnya parti politik Melayu tidak semestinya memperkukuh politik Melayu. Apabila kelompok pengundi yang sama terus dipecahkan kepada semakin banyak wadah, kekuatan akhirnya menjadi serpihan.

Parti Melayu bersepah! Lebih banyak logo dan bendera tidak semestinya bermaksud lebih kuat suara Melayu atau lebih kukuh agenda Bumiputera.

10. Menyatukan orang Melayu bukan bermaksud menafikan hak kaum lain atau membina politik ketakutan. Sebaliknya, ia bertujuan menghentikan perpecahan dalaman supaya tenaga politik boleh difokuskan kepada ekonomi, pendidikan, pemilikan aset, teknologi, mobiliti sosial dan pembinaan negara yang lebih kuat.

11. Cukuplah 28 tahun negara ini menjadi gelanggang tinju politik. Sejak 1998, kita menyaksikan pakatan dibina dan dipecahkan, pemimpin dijatuhkan dan kerajaan bertukar.

Negara tidak boleh selama-lamanya hidup dalam peperangan politik. Kemenangan terbesar mungkin bukan lagi menjatuhkan lawan, tetapi menghentikan kitaran perpecahan.

12. Sebab itu saya membaca Agenda Malaysia Biru dan Tafahum Siyasi sebagai kemungkinan permulaan kepada penyusunan semula politik nasional.

Jika UMNO benar-benar mahu kembali menjadi Rumah Bangsa dan Tafahum Siyasi diterjemahkan dengan jujur, sudah sampai masanya politik Melayu berhenti bertanya siapa yang harus dikalahkan dan mula bertanya apakah negara yang mahu kita bina bersama.

Nik Saiful Adli Burhan

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ketereh

Mantan Exco Pemuda UMNO Malaysia

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO