Himpunan Perpaduan Ummah Terbuka Kepada Semua – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh menegaskan bahawa Himpunan Perpaduan Ummah tidak pernah ditutup atau dihadkan kepada mana-mana parti politik mahupun organisasi.

Beliau berkata, himpunan berkenaan terbuka kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang parti atau bangsa, selagi matlamat penyertaan adalah untuk menyatukan ummah.

“Untuk makluman, kita tidak pernah menutup atau menghadkan himpunan perpaduan ummah ini untuk mana-mana parti ataupun organisasi.

“Himpunan ini melibatkan semua, tidak kira parti atau bangsa. Selagi mana ia bertujuan untuk menyatukan ummah, maka semua dijemput untuk bersama,” katanya.

Menurut Akmal, penggerak utama himpunan itu bagaimanapun adalah UMNO dan Pas, yang disifatkannya sebagai dua parti Melayu Islam terbesar di negara ini.

Beliau menegaskan, Himpunan Perpaduan Ummah bukan milik mana-mana pihak, sebaliknya merupakan wadah bersama yang boleh disertai semua pihak demi memperkukuh perpaduan dalam kalangan umat.

“Hanya yang kita katakan, penggerak utama untuk himpunan ini adalah dari UMNO dan Pas selaku dua parti Melayu Islam terbesar dalam tanah air kita.

“Himpunan Perpaduan Ummah ini adalah himpunan kita semua,” katanya.

Sabtu lalu dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO, Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan mandat kepada Akmal untuk menggerakkan usaha mengadakan Himpunan Perpaduan Ummah dengan sasaran menghimpunkan sejuta umat Islam. Dalam hal ini Akmal perlu bekerjasama dengan Pas bagi memastikan gerakan tersebut dilaksanakan secara tersusun dan berterusan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO