Jangan Hukum Orang, Satukan Pengundi Demi Kemenangan BN – Helmy
DUYONG, 4 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem menyeru jentera parti supaya tidak menghukum pengundi berdasarkan perbezaan kecenderungan politik, sebaliknya terus merangkul semua pihak demi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.
Beliau berkata, tempoh kempen yang berbaki perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk menyatukan pengundi dan memastikan mereka keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.
“Sebab apa…kita tidak tahu hati manusia Allah yang pegang…Sebab saya yakin dan percaya, walaupun kulitnya merah, walaupun kukitnya kuning tetapi isi hatinya ‘helmy di sini’.
“Jadi kita teruskan kerja…Jangan kita hukum orang atas dasar diskriminasi, jangan kita hukum orang sebab dia tidak nak bersama…dia pikul bendera sebagainya. Saya yakin dan percaya kita semua telah berusaha sedaya upaya yang terbaik untuk menjaga masyarakat di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersama masyarakat setempat menerusi program Duyong Duduk Semeja di Warung Santan, dekat sini.
Menurutnya, seluruh jentera termasuk Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri telah melaksanakan gerak kerja masing-masing, namun usaha itu perlu diteruskan dengan memastikan semua pengundi diberikan perhatian tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik.
“Cukup label itu sampai 13 November. Pada 14 November, semua orang kita putihkan, semua orang kita satukan, semua orang kita bawa keluar ke tempat mengundi,” katanya.
Beliau turut mengingatkan jentera supaya tidak leka atau terlalu selesa dengan usaha yang telah dilakukan, sebaliknya terus bekerja keras sehingga hari pengundian bagi memastikan sasaran kemenangan dapat dicapai.
Program berkenaan turut dihadiri Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Hardyaty Hamzah, Ketua Wanita UMNO Tenom, Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan serta pimpinan setempat.- UMNO Online
