Solidariti Rentas Negeri, UMNO Sabah Turun Bantu BN Di Melaka – Noraini Idris

KOTA MELAKA, 4 Nov – Kehadiran jentera UMNO termasuk Wanita UMNO Sabah bagi membantu kempen Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong dan Telok Mas memperlihatkan semangat muafakat serta kesepaduan parti dalam memastikan kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris berkata, jentera dari Sabah telah berada di Melaka sejak 29 Oktober lalu dan akan terus memberikan komitmen membantu jentera tempatan sehingga selesai hari pengundian.

Menurut beliau, kerjasama antara jentera Wanita UMNO Sabah, Wanita UMNO Kota Melaka serta jentera wanita Perikatan Nasional termasuk Dewan Muslimat PAS juga menunjukkan perkembangan positif.

“Kita sebenarnya telah mengadakan sesi suai kenal dengan jentera Wanita Kota Melaka, jentera Wanita Sabah dan juga jentera Wanita Perikatan Nasional serta Dewan Muslimat Pas baru-baru ini.

“Hubungan kita sangat baik, sambutan pun sangat baik dan ramai yang turun. Kita mengharapkan kerjasama itu dapat dijalinkan sepanjang tempoh berkempen ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai program kempen BN di sekitar DUN Duyong dan Telok Mas.

Noraini berkata, beberapa program kerjasama turut disusun bagi membolehkan jentera wanita daripada kedua-dua negeri bergerak secara lebih tersusun dalam mendekati masyarakat dan pengundi.

Mengulas penerimaan masyarakat setempat, beliau berkata sambutan terhadap program-program yang dianjurkan di kedua-dua kawasan berkenaan amat menggalakkan.

Katanya, kedua-dua calon BN, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Datuk Abdul Razak Abdul Rahman masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri yang menjadi kelebihan dalam usaha mempertahankan kerusi berkenaan.

Jelasnya, peranan jentera dari Sabah adalah membantu memperkukuh gerak kerja sedia ada dan memberikan sokongan kepada jentera tempatan.

“Kita daripada Sabah, jentera Wanita Sabah, membantu jentera tempatan. Kita bekerjasama bagi memastikan sokongan masyarakat ini dapat diteruskan sehingga diterjemahkan di peti undi,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO