TVET Pilihan Kerjaya, Bukan Pilihan Kedua – Ahmad Maslan
JASIN, 4 Nov – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dilihat sebagai pilihan kerjaya yang mampu membuka peluang masa depan kepada golongan muda, bukannya sekadar pilihan kedua selepas pendidikan akademik.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penguasaan kemahiran merupakan antara kunci kejayaan anak muda dalam menghadapi keperluan pasaran kerja dan perkembangan teknologi semasa.
“TVET pilihan kerjaya, bukan pilihan kedua. Jika kita mahir, kita akan berjaya dalam hidup ini, Insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perasmian Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET MARA 2026 Peringkat Negeri Melaka di Dewan MPJ Alamanda, Jasin, yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.
Program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran ribuan anak muda yang mengambil peluang mendapatkan maklumat berkaitan pendidikan tinggi serta laluan pengajian dan latihan kemahiran.
Ahmad Maslan turut menekankan kepentingan anak muda mengenal pasti kemahiran yang ingin dikuasai bagi mempersiapkan diri menghadapi peluang pekerjaan dan perkembangan industri.
Dalam ucapan perasmian, Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa anak muda di Jasin berpotensi menjadi pakar kecerdasan buatan (AI), pencipta digital serta jurutera teknologi bertaraf dunia.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pengarah MARA, Ir Dr Mahzan Teh serta Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Dr Akmal Saleh.- UMNO Online
