TVET Bukan Janji Pilihan Raya, Masa Depan Anak Muda Dibela – Manndzri

MELAKA, 4 Nov – Pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi antara agenda utama dalam pengisian pembangunan negeri dan bukan sekadar pengisian manifesto atau janji bermusim ketika kempen pilihan raya.

Ahli Parlimen Tenggara merangkap Ahli Majlis TVET Negara dan Pengerusi Lembaga Penasihat BELIA MAHIR, Manndzri Nasib berkata, masa depan anak muda Melaka perlu dibina melalui dasar pembangunan bakat yang tersusun, pembiayaan berterusan serta hubungan erat antara institusi latihan dengan keperluan sebenar industri.

Menurut beliau, perhatian Barisan Nasional (BN) terhadap pendidikan, pembangunan modal insan, belia dan keusahawanan merupakan agenda penting yang perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan dasar yang jelas serta memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.

“TVET bukan sekadar soal menyediakan kursus atau melahirkan graduan berkemahiran. Lebih penting, kita mahu memastikan anak muda mendapat pekerjaan bermaruah, menikmati pendapatan yang baik dan mempunyai peluang untuk mengubah kehidupan keluarga mereka.

“Jangan jadikan TVET sebagai agenda bermusim yang hanya diberikan perhatian ketika pilihan raya. Masa depan anak muda tidak boleh bergantung kepada janji, sebaliknya memerlukan perancangan dan tindakan yang berterusan,” katanya.

Manndzri berkata, Melaka mempunyai potensi besar untuk membangunkan ekosistem TVET yang lebih kompetitif berdasarkan kekuatan negeri itu dalam sektor pembuatan, automotif, elektrik dan elektronik, pelancongan, logistik serta perkhidmatan.

Bagaimanapun, katanya, pembangunan institusi dan penawaran kursus kemahiran perlu berasaskan permintaan industri supaya setiap pelaburan yang dibuat benar-benar menghasilkan peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan.

“Kita tidak mahu institusi latihan dibangunkan atau kursus ditawarkan hanya untuk menunjukkan program telah dilaksanakan. Setiap latihan mesti mempunyai hala tuju yang jelas, termasuk jenis pekerjaan yang menanti, kompetensi yang diperlukan dan potensi pendapatan graduan.

“Majlis TVET negeri, institusi latihan awam dan swasta serta pemain industri perlu bergerak sebagai satu ekosistem. Kita mesti mengelakkan pertindihan program dan pembaziran sumber,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan TVET tidak boleh hanya tertumpu kepada golongan yang mempunyai pencapaian akademik cemerlang, sebaliknya perlu membuka ruang lebih luas kepada anak muda luar bandar, keluarga berpendapatan rendah dan mereka yang tercicir daripada sistem pendidikan.

Katanya, bantuan pengangkutan, penginapan, pembiayaan latihan dan bimbingan kerjaya perlu diberikan perhatian kerana faktor kewangan serta akses masih menjadi penghalang kepada sebahagian belia untuk mengikuti latihan kemahiran.

“Jangan pinggirkan anak muda luar bandar. Kita tidak boleh bercakap tentang masa depan belia sekiranya mereka yang paling memerlukan peluang masih berdepan kesukaran untuk memasuki institusi latihan.

“Golongan daripada keluarga berpendapatan rendah, belia yang kurang menyerlah dalam akademik dan mereka yang tercicir daripada pendidikan juga mempunyai potensi. Mereka cuma memerlukan peluang, bimbingan dan laluan yang betul,” katanya.

Dalam pada itu, Manndzri berpandangan Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu diberikan peranan lebih besar dalam ekosistem pembangunan kemahiran negeri.

Menurutnya, kerjasama lebih erat antara institusi latihan dan majikan mampu memastikan latihan yang ditawarkan selari dengan keperluan pekerjaan, selain membuka ruang kepada lebih ramai belia untuk membina kerjaya dan menceburi bidang keusahawanan.

Mengulas soal keberkesanan pelaksanaan dasar, beliau mahu setiap wakil rakyat memainkan peranan lebih aktif dalam mengenal pasti belia yang memerlukan latihan serta menghubungkan mereka dengan institusi TVET dan majikan.

Katanya, kejayaan sesuatu program pembangunan belia tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah program, karnival kerjaya atau penyertaan semata-mata, tetapi perlu dinilai melalui hasil sebenar selepas program berakhir.

“Setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) wajar mempunyai sasaran pembangunan belia yang boleh diukur.

“Berapa ramai anak muda memasuki latihan? Berapa ramai mendapat pekerjaan? Berapakah pendapatan permulaan mereka? Dan berapa ramai berjaya meningkatkan kemahiran serta mengembangkan kerjaya?

“Inilah ukuran sebenar kejayaan. Kita mahu melihat perubahan dalam kehidupan anak muda, bukan sekadar angka kehadiran dalam sesuatu program,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa semua parti politik yang menawarkan agenda pembangunan belia menjelang PRN Melaka perlu menjelaskan sasaran, tempoh pelaksanaan, keperluan pembiayaan dan mekanisme pemantauan selepas pilihan raya.

Menurutnya, rakyat berhak mengetahui bagaimana sesuatu dasar akan dilaksanakan serta sejauh mana komitmen yang diumumkan mampu diterjemahkan kepada hasil yang boleh dinikmati masyarakat.

“Rakyat tidak hanya mahu mendengar berapa banyak janji yang diumumkan. Mereka mahu tahu berapa ramai anak muda yang akan mendapat manfaat, berapa banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan dan bagaimana pendapatan mereka boleh ditingkatkan.

“Pembangunan negeri tidak boleh diukur melalui manifesto semata-mata, tetapi melalui sejauh mana dasar yang dilaksanakan berjaya mengubah kehidupan rakyat,” katanya.

Manndzri menegaskan, Melaka mempunyai peluang besar untuk muncul sebagai negeri yang memiliki ekosistem TVET tersusun, mampan dan berdaya saing sekiranya kerajaan negeri memberikan keutamaan kepada pembangunan bakat tempatan.

“Matlamat kita bukan sekadar melahirkan anak muda yang mencari pekerjaan, tetapi membina generasi tenaga mahir, usahawan dan penggerak ekonomi yang mampu menyumbang kepada kemajuan negeri sendiri.

“Itulah pelaburan sebenar untuk masa depan Melaka,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO