80 Tahun UMNO: Melayu Kuat, Malaysia Teduh

LAPAN dekad bukan perjalanan yang singkat bagi sebuah parti politik. Pada usia 80 tahun, UMNO tidak lagi wajar dinilai hanya melalui berapa banyak pilihan raya yang dimenanginya, berapa ramai pemimpin yang dilahirkannya atau berapa lama ia pernah memerintah.

Pertanyaan yang lebih besar ialah: apakah makna kewujudan UMNO kepada Malaysia hari ini dan apakah yang mahu diwariskannya kepada generasi berikutnya?

Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena PAU 2026 memberikan ruang untuk pertanyaan itu direnungkan.

Presiden mengakui politik Melayu sudah berubah. Kesetiaan tidak lagi diwarisi, politik Melayu tidak lagi berpusat pada satu wadah dan generasi baharu tidak terikat kepada nostalgia lama.

Sejarah memberikan akar, tetapi sejarah sahaja tidak menjamin masa depan.
Menariknya, keresahan tentang masa depan UMNO bukan perkara baharu.

Dalam ucapan terakhirnya di Perhimpunan Agung UMNO pada 1951, Dato’ Onn Jaafar mengingatkan parti agar mempunyai “pandangan yang luas, pandangan yang dikatakan nasional atau kebangsaan”, bukannya hidup hanya “di bawah tempurungnya sendiri”.

Selepas 75 tahun, pesanan itu masih terasa begitu kontemporari dan relevan.

Sebab itu antara gagasan paling bermakna dalam ucapan Presiden kali ini ialah “memimpin dalam kemajmukan”: Melayu mesti kuat tanpa masyarakat lain hidup dalam ketakutan, Islam dimartabatkan tanpa agama lain berasa terancam, dan kekuatan politik Melayu perlu mempunyai jiwa yang cukup besar untuk berkongsi kuasa.

Semangat tersebut bukan asing dalam perjalanan negara. Menjelang kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman pernah mengingatkan masyarakat supaya menghapuskan syak wasangka kerana negara merdeka yang ingin dibina ialah negara yang “selamat, aman dan makmur”.

Tun Razak kemudiannya memperkukuh falsafah itu melalui Rukun Negara bagi tujuan kenegaraan yang besar yakni membina perpaduan, masyarakat adil dan kemakmuran yang dapat dinikmati bersama.

Namun, penyatuan Melayu pada 2026 tidak memadai dengan romantisme sejarah atau menghimpunkan sebanyak mungkin parti Melayu di satu pentas. Ia mesti berubah menjadi projek pembinaan keupayaan bangsa.

Realitinya, median pendapatan isi rumah Malaysia pada 2024 ialah RM7,017, tetapi kemiskinan mutlak masih 5.1 peratus dan mencapai 10 peratus di luar bandar.

Jurang ekonomi juga belum selesai. Maka kekuatan politik tanpa mobiliti ekonomi akhirnya hanya menghasilkan simbol, bukan perubahan.

Di sinilah Agenda Malaysia Biru yang dikemukakan Presiden patut dinilai secara serius.

Sasaran 80 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi serta 60 peratus rakyat dewasa memiliki sekurang-kurangnya satu aset produktif membawa satu perubahan pemikiran penting: daripada masyarakat yang sekadar memperoleh pendapatan kepada masyarakat yang memiliki.

Bagi Melayu, transformasinya mesti lebih besar lagi, daripada penerima kepada pencipta; daripada pekerja kepada pemilik; daripada pengguna teknologi kepada pencipta teknologi; daripada bergantung kepada kuasa politik kepada memiliki kekuatan ilmu, ekonomi dan institusi.

Tetapi kekuatan itu mesti mempunyai tujuan kenegaraan. Rukun Negara sendiri meletakkan pembentukan masyarakat adil, kehidupan demokratik dan perpaduan lebih erat sebagai cita-cita negara. Sebab itulah kekuatan Melayu dan kesejahteraan Malaysia tidak sepatutnya dipertentangkan.

Selepas 80 tahun, mungkin inilah ukuran baharu kehebatan Melayu. Bukan berapa banyak kuasa yang dapat dikuasai, tetapi berapa banyak nilai yang mampu dicipta; bukan sekuat mana suara politiknya, tetapi setinggi mana ilmu, produktiviti, adab dan integritinya.

Dato’ Onn telah mengingatkan tentang perlunya pandangan kebangsaan. Tunku mengajar kita menghapuskan syak wasangka. Tun Razak mewariskan gagasan pembangunan bersama. Generasi 2026 kini memikul amanah untuk memberikan makna baharu kepada legasi itu.

Melayu yang kuat tidak perlu membuat orang lain takut. Melayu yang benar-benar hebat ialah Melayu yang kekuatannya membuat seluruh Malaysia berasa teduh.

Dan barangkali, selepas 80 tahun, itulah perjuangan yang perlu diperbaharui, yakni Melayu diperkasa, Malaysia dipelihara.


Datuk Zakaria Dullah
Timbalan Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO