69 Tahun Merdeka: Jangan Lupa Sejarah, Hargai Perjuangan
KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Buloh, Zuree Affendie Dzuraimi menyeru rakyat untuk tidak melupakan sejarah dan menghargai perjuangan insan terdahulu dalam memperoleh kemerdekaan.
Ujarnya, dalam melakar sejarah tersebut UMNO merupakan tunjang utama menyatukan orang Melayu dan menggerakkan perjalanan politik untuk menuntut kemerdekaan.

“Selamat Hari Kebangsaan ke-69. 69 tahun bukanlah tempoh yang singkat. Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini lahir daripada perjuangan, pengorbanan dan kesatuan generasi terdahulu setelah ratusan tahun Tanah Melayu berdepan penjajahan.
“Dalam sejarah perjuangan kemerdekaan, UMNO menjadi antara tunjang utama dalam menyatukan orang Melayu dan menggerakkan perjuangan politik sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
“Sejarah tidak dibina dalam satu malam. Ada darah, air mata, harta dan tenaga yang telah dikorbankan. Seperti peribahasa, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’, kemerdekaan dicapai melalui kesatuan dan perjuangan bersama,” katanya kepada UMNO Online.
Tambahnya, Malaysia dibina atas keharmonian dan kepelbagaian yang perlu dipelihara.

“Bangsa Melayu mempunyai sejarah, adat dan tradisi yang kaya. ‘Takkan Melayu hilang di dunia’ bukan sekadar ungkapan, tetapi amanah untuk kita terus memelihara jati diri dan maruah bangsa.
“Namun, mempertahankan jati diri bukan bermaksud menolak bangsa lain. Malaysia dibina atas keharmonian dan kepelbagaian yang perlu kita pelihara bersama.
“Hari ini, tugas kita bukan sekadar mengingati sejarah, tetapi memastikan kemerdekaan terus bermakna kepada generasi akan datang.
“Jangan padam sejarah. Jangan lupa pengorbanan. Jangan sia-siakan kemerdekaan,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
