Program Saling Mengasihi: UMNO Lahad Datu Santuni 53 Mangsa Banjir Kilat

LAHAD DATU, 19 Ogos – Saling mengasihi, saling membantu. Itulah semangat yang diterjemahkan UMNO Bahagian Lahad Datu menerusi Program Saling Mengasihi, apabila turun padang menyantuni mangsa banjir kilat di Anjung Teduh, Sahabat 1.

Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul telah hadir menyampaikan sumbangan wang tunai dan bakul makanan kepada 53 mangsa banjir, selain turut disertai Ketua-ketua Cawangan UMNO yang turut menerima bantuan.

Sharif Musa berkata, walaupun beliau tidak dapat bersama mangsa ketika banjir kilat berlaku kerana berada di Negeri Sembilan bagi membantu gerak kerja PRN, keadaan itu tidak pernah menghilangkan rasa tanggungjawab terhadap mereka yang ditimpa musibah.

Ujarnya, program ini bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi menjadi wadah untuk UMNO bersama-sama rakyat dalam menghadapi saat sukar.

“Saya ingin memohon maaf kepada semua mangsa kerana ketika banjir kilat melanda, saya berada di Negeri Sembilan. Namun, sebaik sahaja berkesempatan, kami turun untuk menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Apabila rakyat dilanda bencana, UMNO mesti bersama rakyat. Selagi ada ruang dan kemampuan untuk membantu, kita akan terus membantu,” katanya.

Menurut beliau, Program Saling Mengasihi mencerminkan semangat perjuangan UMNO yang sentiasa meletakkan rakyat sebagai keutamaan, terutama ketika mereka berdepan kesusahan dan memerlukan sokongan.

“Selagi belum dapat menyumbang, selagi itulah perjuangan kita belum selesai.”

Beliau berharap sumbangan yang disampaikan dapat membantu meringankan sedikit beban keluarga yang terjejas akibat banjir kilat, selain memberi semangat kepada mereka untuk bangkit dan meneruskan kehidupan.

Tegasnya lagi, program Saling Mengasihi membuktikan bahawa keprihatinan UMNO kepada rakyat bukan hanya dizahirkan dengan kata-kata, tetapi diterjemahkan melalui tindakan malah membantu dan bersama ketika memerlukan

Program berkenaan turut digerakkan oleh Kasmah Adin selaku penyelaras program; Setiausaha UMNO Bahagian, Moktar Lajasali; Biro Kebajikan, Hamzani Ariffin serta AJK Bahagian yang bersama-sama turun padang menjayakan usaha kebajikan tersebut. – UMNO Online
.

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO