Malaysia, Filipina Perkukuh Kerjasama Keselamatan Bendung Jenayah Rentas Sempadan
MANILA, 19 Ogos – Malaysia dan Filipina terus memperkukuh kerjasama keselamatan khususnya dalam pertukaran maklumat risikan dan usaha membendung jenayah rentas sempadan yang menjadi antara agenda utama ASEAN.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) Malaysia-Filipina Kesembilan di sini hari ini, termasuk kerjasama keselamatan maritim di perairan antara pantai timur Sabah dan Filipina.
“Ini antara perkara utama dalam agenda ASEAN kerana jenayah rentos sempadan ini kalau tidak dibendung akan menyebabkan negara anggota ASEAN mengalami masalah.
“Kita juga melihat tentang kerjasama keselamatan terutamanya di kawasan laut antara Timur Sabah dan Filipina dan juga kerjasama tiga pihak Malaysia, Filipina dan Indonesia (menerusi Perjanjian Kerjasama Trilateral-TCA) bagi mengawal keselamatan di kawasan tersebut,” katanya kepada Bernama selepas mesyuarat itu di Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) di sini semalam.

Mohamad berkata keyakinan pelancong asing dari Eropah dan Amerika Syarikat untuk mengunjung kawasan pantai timur Sabah meningkat selepas tiada lagi kes penculikan untuk mendapatkan wang tebusan sejak awal 2020.
Beliau berkata Malaysia turut menyuarakan hasrat agar Kod Tata Kelakuan di Laut China Selatan dapat dimuktamadkan tahun ini ketika Filipina menjadi Pengerusi ASEAN.
Sementara itu, Setiausaha Luar Filipina Ma. Theresa P. Lazaro yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan bersama-sama Mohamad berkata kedua-dua pihak mengambil maklum hubungan yang semakin kukuh antara angkatan tentera kedua-dua negara, selain usaha berterusan untuk mempererat semangat setiakawan dalam kalangan anggota tentera darat, laut dan udara.
Beliau berkata TCA yang genap 10 tahun penubuhannya tahun ini telah memberi sumbangan besar terhadap keselamatan dan kestabilan di kawasan operasi bersama ketiga-tiga negara iaitu Malaysia, Filipina dan Indonesia.
“Kami telah mengulangi semula komitmen untuk memperkukuh kerjasama penguatkuasaan undang-undang menerusi pembangunan kapasiti yang disasarkan, pembangunan teknikal, pemindahan teknologi serta pertukaran maklumat risikan yang lebih meluas.
“Kedua-dua pihak mengakui kepentingan perjanjian yang dicadangkan bagi membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya dalam memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah terlarang,” katanya. – BERNAMA
