‘Kejayaan Sebenar Bila Ilmu, Peluang Dapat Dimanfaatkan Orang Lain’

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melihat penubuhan Tan Sri Dr Lim Wee Chai Visiting Fellowship di Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) sebagai satu inisiatif yang membuka peluang kepada penyelidik antarabangsa untuk mengembangkan ilmu dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, nilai sebenar sesebuah fellowship tidak hanya terletak pada dana atau nama yang diberikan, tetapi peluang yang diwujudkan untuk orang lain meneroka ilmu.

“Fellowship ini akan diberikan setiap tahun kepada seorang penyelidik antarabangsa untuk menjalankan penyelidikan di Oxford sehingga satu tahun akademik, merangkumi bidang kemanusiaan, sains sosial dan sains.

“Bagi saya, nilai sebenar sebuah fellowship seperti ini bukan sekadar pada dana yang diwujudkan atau nama yang diberikan kepadanya. Ia adalah tentang peluang yang kita buka untuk orang lain.

“Saya turut berkongsi perjalanan Tan Sri Dr Lim Wee Chai, daripada membesar di Titi, Jelebu, Negeri Sembilan dan membantu bapanya dalam perniagaan getah keluarga, sehinggalah membina sebuah perusahaan bertaraf global,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook ketika berkongsi majlis perasmian program tersebut.

Dr Zambry turut berharap semangat berkenaan terus berkembang dalam kalangan masyarakat korporat Malaysia.

Menurut beliau ini kerana kejayaan yang paling bermakna bukan hanya terletak pada apa yang dibina untuk diri sendiri, tetapi juga pada apa yang dapat diwujudkan untuk manfaat orang lain.

“Penghargaan kepada Tan Sri Dr Lim Wee Chai atas komitmen beliau terhadap pendidikan, pembelajaran sepanjang hayat dan usaha memberi kembali kepada masyarakat juga kepada Dr Farhan Nizami CBE, Director of the Oxford Centre for Islamic Studies, serta seluruh warga OCIS atas kerjasama menjayakan inisiatif ini.

“Semoga Tan Sri Dr Lim Wee Chai Visiting Fellowship melahirkan penyelidikan, idea dan jaringan ilmu yang memberi manfaat merentasi negara, budaya dan generasi.

“Kerana akhirnya, pendidikan bukan sekadar tentang ilmu yang kita miliki, tetapi apa yang kita lakukan dengan ilmu itu untuk kehidupan orang lain,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO