Desakan Ganti Pengerusi MARA Cetek, Berbaur Emosi – Hasmuni

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Hasmuni Hasan menyifatkan desakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan beberapa perwakilan PKR supaya Perdana Menteri menggantikan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai kenyataan yang dangkal dan berbaur emosi.

Menurut beliau, tuntutan berkenaan memperlihatkan sebahagian kepimpinan Pakatan Harapan (PH) masih terbelenggu dengan politik ghanimah dan habuan, berbanding mengutamakan amanah serta kepentingan rakyat.

“Ini adalah kenyataan yang amat dangkal, cetek fikiran dan pandir secara politik. Tuntutan berbaur emosi ini memperlihatkan betapa ramai kepimpinan PH terbelenggu dalam politik ghanimah dan habuan, bukannya mengutamakan amanah kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit.

Hasmuni berkata, MARA di bawah kepimpinan Dr. Asyraf Wajdi telah melalui transformasi ketara dari aspek tadbir urus, ketelusan dan impak kepada masyarakat, selain berjaya memperkasakan semula fungsi asal institusi itu sebagai benteng kebangkitan ekonomi dan pendidikan Bumiputera.

Katanya, dari segi ketelusan kewangan, Dr. Asyraf Wajdi telah memulakan reformasi tatakelola yang tegas bagi memastikan setiap peruntukan disalurkan kepada golongan yang berhak tanpa berlaku kebocoran.

“Di bawah seliaannya, anak-anak syarikat MARA yang dahulunya mengalami kerugian tegar kini ditadbir secara profesional, membolehkan syarikat-syarikat ini mencatatkan keuntungan, mengurangkan liabiliti serta kembali memberikan pulangan modal yang kukuh,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata institusi pendidikan di bawah MARA turut menunjukkan prestasi membanggakan, termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang mencatatkan tahap kebolehpasaran graduan yang tinggi.

Menurutnya, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) pula terus melahirkan pelajar cemerlang yang menerima peluang pendidikan serta tajaan di dalam dan luar negara.

Hasmuni turut menyifatkan kebijaksanaan Dr. Asyraf Wajdi dalam menggabungkan elemen pemikiran kewangan Islam dengan pembangunan sosioekonomi Bumiputera sebagai antara faktor yang mengukuhkan kedudukan MARA sebagai sebuah institusi yang disegani.

“UMNO langsung tidak hairan dengan desakan dangkal seperti ini. Kepakaran, integriti dan rekod prestasi Dr. Asyraf Wajdi dalam bidang kewangan serta pentadbiran bukan sahaja diiktiraf di dalam negara, malah tokoh seperti beliau sentiasa dicari dan dihargai oleh pelbagai institusi kewangan antarabangsa luar negara,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya Dr. Asyraf Wajdi tidak lagi memegang jawatan Pengerusi MARA, kepakaran beliau tetap mempunyai nilai besar dan berpotensi mendapat tempat dalam institusi kewangan global.

Sehubungan itu, Hasmuni mencabar PKR dan PH supaya mengemukakan calon yang benar-benar layak dan berwibawa sekiranya mereka serius mahu jawatan Pengerusi MARA ditukar.

“Cuma elok rakyat bertanya, jika PKR beria-ia mahukan jawatan Pengerusi MARA ini, tunjukkan calon pemimpin PH yang benar-benar layak dan berwibawa untuk memimpin institusi sebesar MARA.

“Adakah PH mahu mencalonkan pemimpin besar seperti YB Sany Hamzan untuk mengambil alih dan menguruskan portfolio kewangan, pendidikan serta pembangunan perniagaan bernilai berbilion ringgit MARA?” soalnya.

Hasmuni berkata, sekiranya itu merupakan standard kepimpinan yang mahu ditawarkan PH untuk mengemudi masa depan Bumiputera, tidak hairan sekiranya rakyat semakin hilang keyakinan terhadap retorik yang dibawa mereka.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO