ANGKASA, ICC Rapat Hubungan, Pacu Agenda Koperasi Asia Pasifik – Abdul Fattah
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Iran Chamber of Cooperatives (ICC) bersetuju memperkukuh hubungan serta menyelaras usaha bagi memperkasakan suara gerakan koperasi Asia Pasifik di peringkat global.
Presiden ANGKASA merangkap Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, hubungan erat yang terjalin sekian lama dengan gerakan koperasi Iran menjadi asas penting untuk meneroka peluang baharu antara kedua-dua pihak.
“Iran merupakan antara rakan yang konsisten menyokong pelbagai program dan inisiatif ANGKASA, khususnya menerusi kerjasama dengan ICA-AP.
“Penyelarasan dalam kalangan anggota ICA-AP penting bagi membentuk suara Asia Pasifik yang lebih bersatu dalam memperjuangkan keutamaan gerakan koperasi di peringkat global.
“Perbincangan itu turut merangkumi pertukaran pandangan mengenai usaha menyelaras sokongan serta meneroka bentuk kerjasama masa depan antara gerakan koperasi Malaysia dan Iran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan perbincangan secara dalam talian bersama Presiden ICC, Bahman Abdollahi.
Turut sama dalam perbincangan tersebut, Pengurus Seksyen Perhubungan Antarabangsa, Bahagian Antarabangsa ANGKASA, Noor Azlinn Zahariman.
Abdul Fattah yang juga Timbalan Pengerusi Tetap UMNO menjelaskan, perbincangan tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk mempererat hubungan serta menyelaras usaha dalam memperkasakan gerakan koperasi, khususnya di rantau Asia Pasifik.
“Perbincangan tersebut mencerminkan hubungan saling menghormati, kepercayaan dan solidariti yang kukuh antara ANGKASA dengan gerakan koperasi Iran.
“Harap agar hubungan dan koordinasi antara kedua-dua pihak dapat diteruskan menerusi sokongan serta penglibatan berterusan,” ujarnya. – UMNO Online
