Bendera Terbalik: Kerajaan Johor Tegas, Maruah Negara Dan Negeri Bukan Mainan
KULAI, 18 Ogos – Isu pemasangan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor secara terbalik di sebuah premis perindustrian di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kulai (MPKU) mencetuskan tindakan tegas kerajaan negeri yang memberi amaran bahawa soal penghormatan terhadap simbol kedaulatan negara dan negeri bukan perkara yang boleh dipandang ringan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerajaan negeri memandang serius kejadian berkenaan dan tidak akan berkompromi sekiranya terdapat kecuaian atau pelanggaran undang-undang.

“Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai bendera, tetapi lambang kedaulatan, maruah dan identiti negara. Begitu juga Bendera Negeri Johor yang membawa identiti serta maruah negeri dan wajib dihormati,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, lebih mengecewakan apabila kedua-dua bendera berkenaan didapati dipasang dalam keadaan terbalik di premis yang sama.
Katanya, perbuatan sedemikian tidak wajar dinormalisasikan atau dibiarkan berlalu tanpa tindakan, khususnya melibatkan premis syarikat dan pihak industri yang beroperasi di negeri ini.
Justeru memberi peringatan kepada semua pemilik premis, syarikat dan pemain industri supaya memastikan pemasangan Jalur Gemilang serta Bendera Negeri Johor dilakukan dengan betul, tertib dan penuh rasa tanggungjawab.
“Alasan kecuaian tidak boleh dijadikan alasan untuk memandang ringan penghormatan terhadap simbol kedaulatan negara dan negeri,” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri akan terus mengambil pendirian tegas dalam perkara membabitkan penghormatan terhadap Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor.
“Kerajaan Negeri Johor tidak akan berkompromi. Maruah negara mesti dipelihara, maruah Negeri Johor mesti dijunjung, bendera mesti dihormati dan undang-undang mesti ditegakkan,” katanya.

Susulan kejadian itu, MPKU telah mengambil tindakan menutup sementara premis berkenaan sehingga pihak syarikat memberikan penjelasan serta melengkapkan perakuan Aku Janji di samping kedua-dua bendera yang dipasang secara tidak betul itu turut diperbetulkan dengan serta-merta.
Dalam perkembangan sama, Pegawai Daerah Kulai melalui Pejabat Daerah Kulai mengambil tindakan susulan dan menyelaras perkara berkenaan bersama MPKU serta agensi berkaitan bagi memastikan tindakan sewajarnya dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Mohd Jafni berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang menjalankan siasatan, manakala pengarah syarikat terbabit akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memberikan penjelasan.
“Kita tunggu hasil siasatan untuk menentukan punca serta siapa yang bertanggungjawab. Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau syarat yang berkuat kuasa, tindakan selanjutnya mesti diambil tanpa pilih kasih,” tegasnya.
Beliau berkata, tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mempunyai asas perundangan sebagaimana pendekatan yang pernah dilaksanakan sebelum ini, termasuk melalui UUK 49(2) – Kuasa Menutup Premis dan UUK 45(1) – Pengibaran Bendera di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019 yang diguna pakai PBT di Negeri Johor. – UMNO Online
