Tabung Haji: Soal Fakta, Bukan Politik

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Isu Tabung Haji terus menjadi perhatian dengan pelbagai tuduhan dan naratif politik mengenainya.

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, keutamaan dalam isu melibatkan institusi awam, tadbir urus dan wang pendeposit adalah mendapatkan fakta terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kesimpulan.

“Kita perlu berlaku adil. Apabila melibatkan institusi awam, tadbir urus dan wang pendeposit, keutamaan mestilah untuk mendapatkan fakta terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kesimpulan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau berkata, siasatan rasmi telah selesai dan pihak berkuasa berkaitan kini perlu diberi ruang untuk meneliti hasil siasatan serta menjalankan tindakan susulan yang diperlukan secara bebas dan profesional.

Menurutnya, proses berkenaan penting supaya tidak dipengaruhi politik atau dilihat sebagai bermotifkan politik kerana keyakinan masyarakat bergantung kepada kewibawaan proses tersebut.

“Penting supaya proses ini tidak dipengaruhi politik atau dilihat sebagai bermotifkan politik. Keyakinan masyarakat bergantung kepada kewibawaan proses tersebut.”

Salleh berkata, andaian sebelum memahami keadaan sebenar secara menyeluruh perlu dielakkan kerana keputusan kewangan dan institusi yang kompleks tidak boleh dipermudahkan kepada persoalan siapa yang betul atau salah dari sudut politik.

Beliau juga menegaskan, pengajaran lebih besar daripada isu berkenaan ialah soal tadbir urus, dengan institusi seperti Tabung Haji perlu diperkukuhkan melalui ketelusan, akauntabiliti dan pengurusan yang baik.

“Jika terdapat kesilapan, ia perlu dikenal pasti dan diperbetulkan. Jika berlaku salah laku, mereka yang bertanggungjawab perlu diambil tindakan melalui proses undang-undang yang sewajarnya dan berdasarkan bukti.”

Beliau berkata, Malaysia akan menjadi lebih baik jika isu institusi ditangani secara institusi, bukannya melalui naratif politik atau perbicaraan melalui persepsi awam.

Katanya, matlamat utama bukan untuk memberi kemenangan politik kepada mana-mana pihak, sebaliknya mencari kebenaran, memperkukuh tadbir urus, melindungi pendeposit dan memelihara keyakinan terhadap Tabung Haji.

“Akhirnya, biarlah fakta dan proses yang adil menentukan kebenaran,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO