Khidmat Penjawat Awam Bentong Dihargai, Teras Kecemerlangan Rakyat
BENTONG, 17 Ogos – Dedikasi penjawat awam sebagai barisan hadapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus menjadi tunjang penting dalam memastikan pembangunan dan kesejahteraan masyarakat dapat direalisasikan.
Perkara itu ditegaskan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Senator Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh ketika menghargai jasa serta komitmen warga Pejabat Daerah dan Tanah Bentong yang menjadi penggerak utama penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Beliau berkata, setiap warga perkhidmatan awam memainkan peranan besar dalam memastikan urusan rakyat dipermudahkan, selain menjadi wajah penting kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan yang cekap, mesra dan berkesan.

“Kerja yang dilakukan mungkin tidak semuanya dilihat, tetapi kesannya sangat besar kepada kehidupan rakyat. Sebab itu budaya kerja cemerlang, keikhlasan dan rasa tanggungjawab perlu terus dipelihara supaya rakyat sentiasa mendapat perkhidmatan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Citra Gemilang 2026 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Daerah dan Tanah Bentong yang berlangsung pada Sabtu.
Mohamad Zaini turut menzahirkan penghargaan kepada Pegawai Daerah Bentong, Datuk Muhammad Shahid Ismail atas jemputan serta penghormatan yang diberikan kepada beliau untuk bersama-sama meraikan warga Pejabat Daerah dan Tanah Bentong dalam majlis yang penuh bermakna itu.
Menurutnya, penganjuran Anugerah Perkhidmatan Cemerlang merupakan satu bentuk penghargaan yang amat bermakna kepada warga kerja yang menunjukkan prestasi, komitmen dan dedikasi tinggi dalam melaksanakan amanah.
Beliau berkata, pengiktirafan tersebut bukan sahaja meraikan pencapaian individu, malah menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga organisasi untuk terus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Anugerah ini bukan sekadar sijil penghargaan atau pengiktirafan semata-mata, tetapi lambang kepada usaha, pengorbanan dan kesungguhan saudara serta saudari dalam memastikan tanggungjawab yang diberikan dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan berharap kejayaan yang dicapai menjadi inspirasi kepada warga kerja lain untuk terus memberikan perkhidmatan yang berkualiti.
Dalam pada itu, majlis tersebut turut menjadi medan penghargaan kepada warga Pejabat Daerah dan Tanah Bentong yang telah menamatkan perkhidmatan serta mereka yang akan meneruskan perjalanan kerjaya di jabatan lain.
Mohamad Zaini berkata, jasa dan bakti warga yang telah bersara tidak akan dilupakan kerana mereka telah mencurahkan tenaga, pengalaman serta komitmen sepanjang tempoh perkhidmatan.
“Buat mereka yang bersara, terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan yang telah diberikan. Segala sumbangan saudara dan saudari akan terus menjadi sebahagian daripada sejarah serta kekuatan Pejabat Daerah dan Tanah Bentong.
“Walau di mana kita berada, amanah untuk berkhidmat kepada rakyat perlu terus menjadi keutamaan. Jadikan pengalaman dan nilai kerja yang dibina selama ini sebagai kekuatan untuk terus menyumbang,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama erat antara kepimpinan, penjawat awam dan masyarakat amat penting bagi memastikan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat terus diberi perhatian.
“Apabila kita bekerja dengan ikhlas dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus utama, setiap usaha yang dilakukan pasti memberi manfaat besar kepada masyarakat,” katanya.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong, DSP Azmi Mahmud; Ketua Penolong Pegawai Daerah Bentong, Mohd Firdaus Ibaruslan sertaAhli Majlis Perbandaran Bentong, Abd Rahman Abd Aziz. – UMNO Online
