Jangan Politikkan MARA, Nilai Atas Prestasi – Haslinda Salleh

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Johor, Haslinda Salleh memandang serius saranan perwakilan PKR Negeri Sembilan, Mohd Shariman Che Deris, agar Perdana Menteri mempertimbangkan untuk menggantikan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, hanya kerana beliau dikaitkan dengan polemik berhubung RCI Tabung Haji.

Haslinda yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia menjelaskan kedua-dua perkara tersebut perlu dilihat dalam konteks yang berbeza kerana prestasi seseorang menerajui MARA tidak seharusnya dijadikan taruhan hanya disebabkan pendirian atau kenyataannya dalam isu lain.

“Cadangan yang diberikan oleh perwakilan PKR Negeri Sembilan, Mohd Shariman Che Deris, ini bukan sahaja tidak wajar, malah menimbulkan persoalan. Apakah kaitan konflik berhubung RCI Tabung Haji dengan prestasi Datuk Dr Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA.

“Kalau mahu menilai beliau, nilailah prestasinya menerajui MARA. Sepanjang memimpin MARA, beliau terus membawa agenda memperkukuhkan institusi tersebut, termasuk usaha memperkemas tadbir urus dan tatakelola serta memperkukuhkan peranan MARA dalam agenda pembangunan Bumiputera.

“MARA bukan hadiah politik. MARA bukan tempat untuk membahagi-bahagikan jawatan mengikut kepentingan parti. MARA adalah amanah besar orang Melayu dan Bumiputera,” katanya kepada UMNO Online.

Justeru kata beliau, lebih membimbangkan apabila dalam ucapan yang sama turut timbul gesaan supaya lebih banyak jawatan kerajaan diberikan kepada wakil PKR agar parti itu mempunyai autoriti, kuasa dan ruang untuk mendekati serta mempengaruhi rakyat.

Mengulas lanjut Haslinda yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang berkata, penilaian terhadap kepimpinan MARA perlu dibuat secara adil dan berasaskan rekod perkhidmatan serta pencapaian, bukan dicampuradukkan dengan perbezaan pandangan atau polemik politik.

“Datuk Dr Asyraf Wajdi harus dinilai berdasarkan amanah, kemampuan dan prestasinya menerajui MARA, bukannya dihukum hanya kerana beliau lantang mempertahankan pendirian dalam isu lain.

“Jangan kerana perbezaan pandangan atau polemik dalam isu lain, jawatan beliau sebagai Pengerusi MARA pula mahu dijadikan taruhan,” jelasnya.

Haslinda berkata, MARA tidak seharusnya dijadikan medan percaturan politik atau mangsa kepada perbezaan pandangan antara mana-mana pihak.

“Jangan heret MARA ke dalam percaturan politik. Jangan korbankan institusi Bumiputera hanya kerana perebutan pengaruh dan jawatan.

“Jika benar mahu memperkukuhkan MARA, bawalah cadangan yang membina. Bukan menukar Pengerusinya kerana percaturan politik,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO