NMOD 2026 Platform Dekati Masyarakat, Kenali Islam – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Masjid bukan sekadar tempat ibadah, malah berperanan sebagai jambatan yang mendekatkan masyarakat pelbagai latar belakang untuk mengenali Islam, budaya dan kehidupan masyarakat setempat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, perkara itu dapat direalisasikan menerusi penganjuran National Mosque Open Day (NMOD) 2026 yang berlangsung di Bagan Datuk sejak 13 Ogos lalu.

Beliau berkata, pemilihan Masjid Tuminah Hamidi sebagai lokasi pertama penganjuran NMOD di peringkat kebangsaan amat bermakna kepada seluruh masyarakat Bagan Datuk.

“Saya amat berbesar hati apabila Bagan Datuk, khususnya Masjid Tuminah Hamidi dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran program ini di peringkat kebangsaan.

“Lebih bermakna apabila Masjid Tuminah Hamidi turut dijadikan Masjid Pelancongan yang ke-98, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk masyarakat dari dalam dan luar negara mengenali keindahan Islam, budaya serta kehidupan masyarakat di Bagan Datuk,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, penganjuran program berkenaan turut membuktikan bahawa institusi masjid mempunyai peranan besar dalam membina kefahaman, ukhuwah dan hubungan harmoni dalam kalangan masyarakat.

Katanya, masjid yang makmur bukan sahaja diimarahkan dengan ibadah, malah turut menjadi pusat ilmu, ukhuwah serta khidmat kepada masyarakat.

“Saya sentiasa percaya bahawa masjid yang makmur ialah masjid yang hidup dengan ibadah, ilmu, ukhuwah dan khidmat kepada masyarakat.

“Melalui program seperti ini, pintu masjid turut kita buka kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk datang, melihat, bertanya dan mengenali Islam dalam suasana yang penuh adab, rahmah dan saling menghormati,” katanya.

Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada Islamic Tourism Centre (ITC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak atas kepercayaan memilih Bagan Datuk sebagai lokasi penganjuran program berkenaan.

Ahmad Zahid turut mengalu-alukan kedatangan masyarakat dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke Bagan Datuk serta melihat sendiri keunikan Masjid Tuminah Hamidi dan keramahan masyarakat setempat.

“Mudah-mudahan apa yang bermula di Bagan Datuk ini terus berkembang ke seluruh negara dan membawa lebih ramai masyarakat mendekati institusi masjid, mengenali Islam serta memperkukuh hubungan sesama kita,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO