Pelaksanaan Projek Sumber, Bekalan Air Utama Terus Dipercepat – Onn Hafiz

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Pelaksanaan beberapa projek sumber dan bekalan air terus dipercepatkan untuk memastikan keperluan rakyat serta pembangunan negeri dapat dipenuhi secara mampan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada Jumaat.

“Syukur alhamdulillah, saya berkesempatan mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, yang turut dihadiri oleh Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Menteri Ekonomi, bagi menyelaras beberapa perkara penting berkaitan pembangunan dan keperluan strategik Negeri Johor.

“Antara keutamaan yang diberikan perhatian ialah usaha memperkukuh infrastruktur asas negeri, khususnya jaminan bekalan air jangka panjang. Seiring dengan pertumbuhan pesat Johor, pelaksanaan beberapa projek sumber dan bekalan air utama perlu terus dipercepatkan bagi memastikan keperluan rakyat, industri serta pembangunan negeri dapat dipenuhi secara mampan.

“Turut dibincangkan ialah perkembangan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), termasuk proses pemuktamadan Pelan Induk JS-SEZ. Inisiatif ini mempunyai potensi besar untuk menjadi antara pemacu utama ekonomi Johor dalam menarik pelaburan berkualiti, mewujudkan lebih banyak pekerjaan, memperkasa perniagaan tempatan dan memastikan limpahan pembangunan dapat dirasai oleh Bangsa Johor,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor turut menegaskan bahawa perhatian terhadap segala perkara melibatkan kepentingan dan masa depan Negeri Johor akan terus diberi perhatian.

“Kerajaan Negeri akan terus memberikan perhatian kepada setiap perkara yang melibatkan kepentingan dan masa depan Johor, di samping memperkukuh penyelarasan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan projek serta inisiatif strategik dapat digerakkan dengan berkesan.

“Semoga segala usaha dan penyelarasan ini terus dipermudah demi kepentingan rakyat, memperkukuh asas pembangunan negeri, meningkatkan daya saing ekonomi serta membuka lebih banyak peluang kepada Bangsa Johor, selaras dengan aspirasi untuk menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO