KUGGp Dikaji Untuk Diperluas Ke Tuaran, Rakyat Terus Jadi Keutamaan

TUARAN, 14 Ogos – Kerajaan Negeri Sabah sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan kawasan Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGp) ke sebahagian daerah Tuaran susulan penemuan awal Ekspedisi Saintifik Geo-Sulaman (EGOS 2025).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata penemuan awal ekspedisi berkenaan menunjukkan kawasan tersebut mempunyai keunikan geologi, biodiversiti, warisan budaya serta pengetahuan komuniti yang bernilai.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, pada Majlis Penutupan Misi Penilaian Semula Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGp) 2026 di Tuaran, hari ini.

“Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan memperluaskan KUGGp ke sebahagian daerah Tuaran susulan penemuan awal Ekspedisi Saintifik Geo-Sulaman (EGOS 2025), yang menunjukkan kawasan ini mempunyai keunikan geologi, biodiversiti, warisan budaya dan pengetahuan komuniti yang bernilai,” katanya.

Ketika ini, KUGGp meliputi kira-kira 4,750 kilometer persegi merentasi Kota Belud, Kota Marudu dan sebahagian Ranau.

Jafry berkata, melalui Pelan Pengurusan KUGGp 2026–2035, usaha pemuliharaan, penyelidikan, pendidikan, pembangunan sosioekonomi dan pemerkasaan komuniti akan terus diperkukuh.

“Pengiktirafan UNESCO bukan sekadar satu prestij, tetapi amanah dan tanggungjawab bersama untuk memastikan khazanah ini terus dipelihara serta memberi manfaat kepada rakyat dan generasi akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO