Kibarkan Jalur Gemilang, Terus Semarak Jiwa Merdeka – Azalina
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menyeru rakyat agar bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Beliau berkata ia penting sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme serta menzahirkan rasa bangga dan cinta terhadap tanah air.
“Alhamdulillah, semalam saya telah bersama para pemimpin masyarakat Parlimen Pengerang dalam Program Semarak Jiwa Merdeka Parlimen Pengerang 2026, sebagai usaha untuk menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan di kawasan Pengerang ini.
“Saya menyeru seluruh warga Pengerang untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, premis dan komuniti masing-masing,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Azalina dalam pada itu turut sama mengajak masyarakat Pengerang untuk bersama-sama menjadikan sambutan Bulan Kebangsaan sebagai wadah memperkukuh semangat perpaduan dan kecintaan kepada negara.
Katanya, pengibaran Jalur Gemilang di seluruh kawasan Pengerang mampu menjadi simbol kebanggaan rakyat terhadap tanah air.
“Biarlah Jalur Gemilang berkibar megah di seluruh Parlimen Pengerang sebagai lambang kebanggaan kita terhadap tanah air tercinta!
“Ayuh kita semarakkan jiwa merdeka dan raikan kemerdekaan negara kita dengan penuh rasa bangga!” ujar beliau. – UMNO Online
