Johari, Onn Hafiz Bincang Usaha Perkukuh Pelaburan Johor

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menerima kunjungan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi membincangkan perkembangan ekonomi dan pelaburan di negeri Johor.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata Johor mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bernilai RM158.0 bilion dengan pertumbuhan 8.0 peratus, tertinggi dalam kalangan negeri di Malaysia.

“Tahun lalu, Johor turut merekodkan pelaburan sekitar RM100 bilion melibatkan kira-kira 100 projek.

“Menteri Besar turut merakamkan penghargaan kepada MITI serta agensinya, khususnya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) atas usaha memudah cara pelaburan dan projek di negeri tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook

Dalam pada itu pertemuan tersebut membincangkan perkembangan industri pusat data, termasuk usaha memastikan pelaburan baharu memberi penekanan kepada teknologi dan penyelesaian yang meningkatkan kemampanan penggunaan tenaga dan air.

Selain itu, Johari berkata, keperluan menambah kemudahan pendidikan swasta di Johor turut dibincangkan bagi memenuhi peningkatan permintaan, termasuk daripada pelajar Singapura yang berulang-alik atau menetap di negeri berkenaan.

“Kami bersetuju bahawa momentum pembangunan Johor perlu terus diperkukuh dan diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang lebih luas,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO