Dr Asyraf Serah LOD, Saman Fitnah RM5 Juta

KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini memulakan tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun media sosial yang menyebarkan fitnah serta dakwaan tidak benar berkaitan dirinya dengan pelbagai isu membabitkan Tabung Haji (TH).

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu berkata, menerusi peguamnya Datuk Adnan Seman, LOD akan mula disediakan dan diserahkan kepada pemilik-pemilik akaun berkenaan secara berperingkat bermula petang ini.

“Saya telah mengarahkan peguam saya Datuk Adnan Seman untuk menyerahkan Notis Tuntutan bagi memulakan saman fitnah sebanyak RM5 juta kepada pemilik-pemilik akaun yang memfitnah dan sengaja mahu memburukkan dan menjatuhkan reputasi saya dengan mengaitkan dengan pelbagai isu Tabung Haji,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, tindakan tersebut diambil susulan penyebaran dakwaan yang tidak benar yang disifatkan berniat jahat untuk memburukkan nama, menjatuhkan reputasi serta mencemarkan maruahnya.

“Insya-Allah, bermula petang ini, secara berperingkat Notis-Notis Tuntutan akan mula disediakan dan diserahkan kepada pemilik-pemilik akaun yang berniat jahat untuk memburukkan nama, menjatuhkan reputasi dan mencemarkan maruah saya melalui penyebaran dakwaan yang tidak benar,” katanya lagi.

Seterusnya, Dr Asyraf Wajdi menegaskan, tindakan berkenaan bukan didorong oleh kepentingan kewangan, sebaliknya beliau mahu kebenaran dibuktikan menerusi proses kehakiman.

“Bukan wang yang saya cari, tapi insya-Allah Allah akan tunjukkan kebenaran di muka pengadilan.

“Sebagaimana saman-saman terdahulu, saya bertekad untuk menyalurkan setiap sen wang yang diterima dan ditentukan oleh Mahkamah kelak ke Yayasan Pelajaran MARA untuk manfaat pelajar-pelajar miskin, yatim dan susah,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO