UMNO Putrajaya Sentiasa Bersama Rakyat, Tak Banyak Alasan

PUTRAJAYA, 13 Ogos – UMNO terus memperkukuh komitmen untuk sentiasa bersama rakyat dengan turun padang, mendengar sendiri denyut nadi masyarakat serta membantu menyelesaikan keperluan mereka, kata Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata, pendekatan mendekati rakyat secara berterusan penting bagi memastikan hubungan antara parti dan masyarakat tidak hanya terjalin ketika musim pilihan raya.

Katanya, perkara itu dizahirkan menerusi sesi ramah mesra bersama warga Putrajaya di Pinggiran Putra, selain penyampaian bakul bantuan makanan kepada penduduk yang memerlukan baru-baru ini.

“UMNO sentiasa bersama rakyat. Kita turun padang untuk melihat sendiri keadaan mereka, mendengar masalah dan membantu sekadar yang termampu.

“Ini bukan soal datang ketika pilihan raya sahaja. Kita mahu terus berada bersama rakyat, mendengar suara mereka dan memahami apa yang benar-benar mereka perlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan turut menegaskan bahawa wakil rakyat mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan kebajikan dan kepentingan masyarakat sentiasa diberi perhatian.

Beliau berkata, Parlimen Putrajaya mempunyai Ahli Parlimen yang sewajarnya memainkan peranan lebih aktif dalam membantu serta membela kepentingan rakyat, namun mendakwa perkara itu masih belum dilaksanakan seperti yang diharapkan.

“Parlimen Putrajaya mempunyai Ahli Parlimen yang sewajarnya memainkan peranan membantu serta membela kepentingan rakyat. Namun, malangnya perkara itu tidak berlaku seperti yang diharapkan,” katanya.

Pada masa sama beliau mempersoalkan janji mengenai “era baharu” yang sebelum ini dicanangkan kepada rakyat Putrajaya, termasuk dari segi tindakan dan penyelesaian terhadap permasalahan masyarakat.

“Janji era baharu pun sampai sekarang tidak nampak apa yang baharu. Yang banyak ialah alasan.

“Rakyat tidak perlukan alasan. Rakyat perlukan tindakan, penyelesaian dan pemimpin yang benar-benar turun padang bersama mereka,” tegasnya.

Menurutnya, walaupun tidak lagi menjadi Ahli Parlimen Putrajaya, khidmat bakti kepada masyarakat tetap diteruskan, termasuk penyediaan van jenazah percuma bagi membantu keluarga menguruskan urusan pengebumian selain khidmat Klinik Rakyat Ku Nan yang masih terus beroperasi,

Beliau berkata, UMNO Putrajaya akan terus turun padang dan berada bersama rakyat tanpa mengira musim, kerana khidmat kepada masyarakat bukan sekadar soal jawatan, tetapi soal tanggungjawab.

“Selagi kita mampu membantu, kita akan terus membantu. Tak banyak alasan, kita buat.” – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO