Geran Usahawan Makmur Perkasa PMKS

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Geran Usahawan Makmur merupakan inisiatif yang amat baik untuk memperkasa golongan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Wan Rosdy memaklumkan bahawa para usahawan akan mendapat bantuan untuk memperkasa produk jualan mereka melalui inisiatif tersebut.

“Pada Rabu saya telah menyerahkan Geran Usahawan Makmur dan Transformasi Produk Usahawan di bawah SIRIM Technopreneur Enterprise Program (STEP) Siri 1 Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Majlis Perbandaran Bentong.

“Program ini merupakan satu inisiatif yang amat baik dalam memperkasa golongan PMKS di Negeri Pahang. Sokongan yang diberikan bukan sekadar dari aspek kewangan, malah turut membantu usahawan meningkatkan kualiti produk, penjenamaan, pembungkusan, reka bentuk dan penampilan produk agar lebih berdaya saing serta mampu menembusi pasaran yang lebih luas.

“Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta melalui Program Usahawan Makmur termasuk penyerahan Geran Usahawan Makmur berjumlah RM1.5 juta bagi membantu para usahawan mengembangkan perniagaan, meningkatkan kapasiti pengeluaran, memperluaskan pasaran dan meningkatkan nilai serta daya saing produk tempatan,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, bantuan yang disalurkan tersebut akan membolehkan para usahawan membawa produk mereka ke pasaran lebih besar.

“Bagi Siri 1, seramai 101 usahawan PMKS menerima Geran Usahawan Makmur dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM416,000 dan 42 peserta STEP dengan jumlah keseluruhan RM500,000.

“Bagi usahawan PMKS, sokongan sebegini amat penting kerana kebanyakan mereka bermula secara kecil-kecilan dengan modal dan sumber yang terhad.

“Melalui bantuan, bimbingan dan akses kepada kepakaran yang disediakan, mereka berpeluang untuk menaik taraf perniagaan, memperkukuh operasi, memperkemas strategi pemasaran dan membawa produk tempatan ke pasaran lebih besar,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menzahirkan keyakinan bahawa Kerajaan Negeri Pahang mampu melahirkan lebih ramai usahawan yang lebih berdaya saing melalui inisiatif tersebut.

“Lebih penting, kita mahu melihat lebih ramai usahawan Pahang berkembang daripada perniagaan kecil kepada perusahaan kukuh, mampu menjana pendapatan yang lebih baik, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Insya-Allah, dengan kesungguhan para usahawan, sokongan berterusan Kerajaan Negeri Pahang, agensi-agensi kerajaan dan kerjasama semua pihak, kita mampu melahirkan lebih ramai usahawan PMKS Pahang yang berdaya tahan, berdaya saing serta berjaya di peringkat negeri, nasional mahupun antarabangsa,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO