“Yang Makan Cili, Memang Akan Rasa Pedas” – Manndzri
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – “Jadi tak timbul… apatah lagi pula nak tuduh sahabat saya, YB Menteri JPM (Agama) yang arif bijaksana sebagai munafik.”
Itu penegasan Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib susulan teguran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berhubung penggunaan beberapa ayat al-Quran ketika perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat.
Manndzri berkata, sama sekali tidak terlintas dalam fikirannya untuk mengaitkan Zulkifli dengan golongan munafik, sebaliknya petikan ayat al-Quran tersebut digunakan dalam konteks umum bagi mengingatkan sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan menipu dan mendustakan kebenaran.
“Langsung tidak terlintas niat. Yang saya niatkan hanyalah supaya setiap soalan Tenggara dijawab terutama berkaitan tuduhan yang menyatakan Lembaga TH tidak respon langsung teguran BNM dan lain-lain persoalan yang saya bangkitkan,” katanya menerusi satu perkongsian.

Menurut Manndzri, beliau dimaklumkan mengenai teguran Zulkifli selepas selesai sesi persidangan kerana terpaksa beredar lebih awal bagi menguruskan beberapa persiapan umrah.
Beliau berkata, dalam memahami al-Quran dan Sunnah terdapat kaedah al-‘ibrah bi ‘umum al-lafz la bi khusus al-sabab yang bermaksud pengajaran atau hukum diambil berdasarkan keumuman lafaz, bukan semata-mata kekhususan sebab sesuatu nas itu diturunkan atau diucapkan.
“Ringkasnya, sebab mungkin khusus tetapi lafaz dan pengajarannya boleh bersifat umum.
“Kaedah ini penting supaya nas al-Quran dan Sunnah tidak ‘dikurung’ dalam konteks sejarah semata-mata, sebaliknya terus menjadi panduan merentas zaman dan keadaan, selagi keumuman lafaz tersebut tidak dikhususkan oleh dalil lain,” katanya.
Dalam konteks perbahasan RCI TH semalam, Manndzri menjelaskan beliau memetik ayat berkenaan pada penghujung perbahasan sebelum mengemukakan dua cadangan, iaitu RCI TH 2.0 bagi tempoh 2022 hingga 2026 serta RCI terhadap UJSB.
“Saya memang niatkan ayat itu bukan tertuju kepada RCI ini, tetapi secara umum kepada sesiapa sahaja yang menipu dan mendusta,” katanya.
Beliau pada masa sama menegaskan matlamat utama perbahasannya adalah untuk mendapatkan jawapan terhadap persoalan yang dibangkitkan, khususnya berhubung dakwaan bahawa Lembaga TH tidak memberikan respons terhadap teguran Bank Negara Malaysia (BNM), selain beberapa persoalan lain berkaitan laporan RCI tersebut.
Terdahulu, Zulkifli ketika menggulung perbahasan Laporan RCI TH menegur Manndzri supaya lebih berhati-hati ketika memetik ayat al-Quran dalam perbahasan di Dewan Rakyat.
Zulkifli berkata, beberapa ayat yang dipetik mempunyai konteks tertentu dan tidak seharusnya digunakan secara longgar dalam membahaskan isu RCI TH, termasuk ayat berkaitan golongan yang menolak hari akhirat dan satu lagi berkaitan orang munafik.
Namun bagi Manndzri, penjelasan mengenai maksud dan konteks penggunaannya itu penting agar tidak timbul salah faham seolah-olah beliau menujukan ayat berkenaan kepada mana-mana individu secara khusus.
Bagi beliau, segala-galanya kembali kepada satu ungkapan mudah iaitu, “tidaklah terkejut sangat … sebab yang makan cili, memang akan rasa pedas.” – UMNO Online
